KUALA LUMPUR: Ibu kepada pelajar perempuan yang maut dalam tandas di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya, di sini mengesahkan sebanyak 200 tikaman ditemukan di atas badan anaknya.
Ibu mangsa, Wong Lee Ping, memaklumkan perkara itu berdasarkan laporan hasil bedah siasat yang dijalankan pihak patologi yang diterimanya.
“Kami tahu laporan dalam talian mengatakan 50 tikaman, tetapi sebenarnya anak perempuan saya mengalami 200 tikaman. Dia 200 luka tikaman. Bukan tetakan, tetapi tikaman.
“Dari bahagian atas kanan turun ke kawasan kaki,” kata dalam sidang akhbar di Nirvana Center, Kuala Lumpur, hari ini.
Lee Ping berkata banyak maklumat palsu telah tersebar di media sosial sejak kejadian tragik itu.
Wanita itu juga memberitahu bahawa anak bongsunya itu tidak pernah mengenali suspek yang berusia 14 tahun walaupun mereka dalam satu sekolah.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi pada Selasa lalu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut dipercayai ditikam oleh seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.- UTUSAN