PUTRAJAYA: Lebih 130 murid sekolah menengah dan rendah di empat negeri bertuah apabila mereka dilbatkan dalam proses penggubalan Rang Undang-Undang Tribunal Antibuli.
Mereka yang masing-masing dibawa beberapa sekolah dari Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan itu diberi ruang bagi menyuarakan pandangan dan suara berkenaan jenayah buli.
Kesemua mereka dikumpulkan pada Sesi Town Hall ‘Generasi Tanpa Buli’ bersama-sama wakil murid di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) anjuran Jabatan Perdana Menteri (JPM), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), di sini hari ini.
Sesi itu dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Fadhlina dalam ucapanya berkata, pihaknya ingin mendengar suara anak-anak sendiri dalam usaha membina satu dasar atau undang-undang yang benar-benar mencerminkan keperluan mereka.
Menurutnya, pendekatan ini bukan hanya melihat kepada hukuman semata-mata, tetapi juga kepada peluang untuk memperbaiki tingkah laku dan membentuk persekitaran yang lebih beradab.
“Sebab itu, penyertaan anak-anak sangat penting. Ini kali pertama dalam sejarah negara, suara dan pandangan murid-murid diambil kira dalam proses penggubalan undang-undang berkaitan anti-buli.
“Melalui sesi ini, kita mahu anak-anak sedar bahawa pandangan dan suara mereka amat penting untuk negara,” katanya yang akan merekodkan pandangan mereka dan dijadikan sebahagian daripada pembentangan kepada Kabinet serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UTUSAN