BIRMINGHAM: Ollie Watkins menamatkan kemarau jaringan untuk membantu Aston Villa bangkit menewaskan Fulham 3-1 sekali gus meraih kemenangan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Kemenangan itu melegakan Villa yang sebelum ini berada di zon penyingkiran selepas hanya mengutip tiga mata daripada lima perlawanan awal.
Villa bermula hambar apabila Raul Jimenez meledak gol seawal minit ketiga hasil tandukan dari sepakan penjuru Sasa Lukic.
Fulham terus mendominasi babak pertama malah dua rayuan penalti mereka ditolak pengadil dalam tempoh 30 minit permainan.
Watkins yang gagal menjaringkan gol dalam 11 perlawanan terakhir akhirnya menemui sentuhan apabila melakukan lob cantik menewaskan Bernd Leno sebelum rehat.
John McGinn menambah jaringan kedua dengan rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-47 untuk mengubah momentum perlawanan.
Emi Buendia kemudian menyempurnakan hantaran rendah Watkins seminit kemudian untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik skuad kendalian Unai Emery. – AGENSI