Tuntutan RSNB-GE bahaya, jejas kedaulatan

Tuntutan RSNB-GE bahaya, jejas kedaulatan

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tuntutan kumpulan yang menggelarkan diri mereka Kerajaan Buangan Republik Sabah Borneo Utara (RSNB-GE) disifatkan tidak sah, berbahaya dan satu hasutan yang boleh mencetuskan tindakan jenayah sekiranya tidak ditangani segera

Pakar Perlembagaan, Prof. Madya Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, konsep kerajaan buangan popular pada zaman dahulu kala dan hanya wujud dalam keadaan tertentu apabila sesebuah kerajaan sah beroperasi di luar tanah air, namun tetap diiktiraf negara lain dan mempunyai hak Perlembagaan menuntut semula wilayahnya.

Bagaimanapun, katanya, kedudukan Sabah atau Borneo Utara jauh berbeza kerana nege­ri itu merupakan tanah jajahan British sebelum menyertai Malaysia pada 16 September 1963.

“Selama bertahun-tahun, Parlimen British melaksanakan kedaulatan ke atas Borneo Utara. Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pula diluluskan oleh Parlimen British dan Persekutuan Tanah Melayu melalui statut untuk memberikan kemerdekaan kepada negeri tersebut yang diikuti pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

“Melalui MA63 yang turut diluluskan oleh badan perundangan Borneo Utara, kedaulatan negeri itu dipindahkan daripada Parlimen British kepada Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara Persekutuan Malaysia, lantaran baginda berkuasa melantik Yang di-Pertua Borneo Utara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau mengulas tuntutan kumpulan dikenali RSNB-GE yang mengisytiharkan penubuhan kerajaan buangan di Melbourne, Australia. 

Kumpulan berkenaan mendakwa mewakili rakyat Sabah dan berkuat kuasa pada 16 September sebagai simbol penolakan terhadap pembentukan Malaysia pada 1963.

Kenyataan mereka antara lain mendakwa Sabah tidak pernah diberikan hak sebenar untuk menentukan nasib sendiri kerana tiada referendum dijalankan dan menyifatkan Perjanjian Malaysia 1963 sebagai manipulasi kolonial serta menuduh Kerajaan Persekutuan mengeksploitasi sumber Sabah lebih enam dekad lamanya.

Wan Ahmad Fauzi berkata, sebarang dakwaan RSNB-GE bahawa mereka berhak menuntut kedaulatan Sabah adalah tidak berasas sama sekali, bahkan tidak boleh mendakwa mewakili rakyat Sabah.

“Ia tindakan serius kerana boleh menghasut sehingga penggunaan kekerasan jenayah untuk menafikan kuasa Yang di-Pertuan Agong serta Yang Dipertua Negeri Sabah. Malah, ia boleh berkembang menjadi cubaan melakukan jenayah berat di bawah Kanun Keseksaan.

“Sesiapa yang bersekongkol dengan kumpulan ini boleh dihadapkan dengan pertuduhan sama. Pergerakan seperti ini mesti dihentikan kerana ia jelas berada di luar kerangka Perlembagaan. Dakwaan sebagai kerajaan buangan juga boleh disiasat sebagai penderhakaan,” tegas beliau.

Katanya, sebarang pertikaian sama ada antara kerajaan Persekutuan dan Sabah mesti dirujuk kepada Perlembagaan Persekutuan serta Perlembagaan Negeri Sabah yang menyediakan mekanisme sewajarnya untuk menyelesaikan isu berbangkit.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN