Terbuka Korea: Hon Jian-Haikal jadi penyelamat kempen awal

Terbuka Korea: Hon Jian-Haikal jadi penyelamat kempen awal

Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri menewaskan gandingan Thailand, Peeratchai Sukphun–Pakkapon Teeraratsakul 21-19, 21-12 pada aksi pusingan pertama Terbuka Korea di Suwon hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Choong Hon Jian–Muhammad Haikal Nazri menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang menceriakan kempen awal selepas mara ke pusingan kedua Terbuka Korea di Suwon, hari ini.

Pasangan ranking ke-47 dunia itu tampil bertenaga untuk menundukkan gandingan Thailand, Peeratchai Sukphun–Pakkapon Teeraratsakul yang berada di tangga ke-42 dunia dengan kemenangan straight set 21-19, 21-12.

Kejayaan itu memastikan Haikal–Hon Jian melangkah ke kelompok 16 terbaik dan mereka dijadualkan menentang bekas juara dunia dari Jepun, Takuro Hoki–Yugo Kobayashi pada Rabu.

Sementara itu, kempen beregu lelaki negara turut diselubungi kekecewaan apabila pasangan profesional, Nur Mohd Azriyn Ayub–Tan Wee Kiong gagal mengekang asakan beregu Indonesia yang sedang meningkat, Fajar Alfian–Muhammad Shohibul Fikri.

Beregu No. 23 dunia itu tunduk 18-21, 12-21 kepada pasangan ranking ke-49 dunia dari Indonesia tersebut.

Kombinasi baharu Fajar bersama Shohibul sebelum ini mencuri tumpuan apabila mengejutkan ramai dengan menjuarai Terbuka China, kejohanan bertaraf Super 1000 pada Julai lalu selain mara ke separuh akhir China Masters di Shenzhen minggu lalu.

Sebaliknya, Azriyn–Wee Kiong terus dirundung prestasi hambar selepas turut tersingkir di pusingan pertama pada dua kejohanan terakhir iaitu Terbuka Hong Kong dan China Masters.

Dalam acara beregu wanita, gandingan negara, Teoh Mei Xing–Go Pei Kee turut tersingkir di pusingan pertama.

Pasangan No. 19 dunia itu mudah ditewaskan wakil Taiwan, Hsu Yin Hui–Lin Jhih Yun yang berada di ranking ke-18 dunia menerusi kemenangan 21-13, 21-11.

Sebanyak enam wakil negara yang beraksi pusingan pertama hari ini yang menyaksikan kesemua tewas kepada lawan masing-masing dan hanya Hon Jian-Haikal yang melangkah ke pusingan seterusnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN