TOKYO: Juara Sukan Olimpik, Letsile Tebogo mahu lariannya ‘berbicara’ dalam pertarungannya menentang jaguh pecut Amerika Syarikat (AS), Noah Lyles di Kejohanan Olahraga Dunia di Tokyo, Jepun.
Atlet dari Botswana itu menghadiahkan pingat emas Olimpik pertama negaranya selepas memenangi acara 200 meter (m) di Paris tahun lalu dengan Lyles di tempat ketiga.
Tebogo melabelkan pencabarnya itu sebagai sombong selepas perlumbaan dan personaliti besar Lyles yang suka bercakap besar dijangka sekali lagi menarik perhatian apabila kejohanan tersebut bermula Sabtu ini.
“Saya seorang yang sentiasa menjauhkan diri daripada media tetapi sukan ini memaksa saya untuk melangkah ke hadapan, meningkatkan permainan saya untuk menjadi seorang personaliti sukan.
“Pada akhirnya, semuanya bergantung kepada apa yang anda mahu lihat mahu, berada dalam perhatian atau di luar perhatian. Bagi saya, saya memilih untuk berada di luar perhatian dan membiarkan kaki saya yang berbicara,” katanya.
Bagaimanapun, Lyles menewaskan Tebogo dalam acara 200m di final Liga Berlian Zurich dua minggu lalu dan mereka turut dijangka bertemu dalam acara 100m di Tokyo nanti.
Tebogo kini memburu gelaran dunia pertamanya selepas meraih perak dalam acara 100m dan gangsa untuk 200m di Budapest dua tahun lalu. – AGENSI