Tambah baik kesalinghubungan tumpuan Pemukiman Menteri-menteri Pelancongan ASEAN

Tambah baik kesalinghubungan tumpuan Pemukiman Menteri-menteri Pelancongan ASEAN

SHAHARUDDIN ABU SOHOT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Menambah baik kesalinghubungan di pintu masuk negara anggota antara perkara yang dibincangkan pada Pemukiman Menteri-menteri Pelancongan ASEAN yang berlangsung di Banda Hilir di sini, hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, penambahbaikan itu bertujuan untuk memudahkan urusan kemasukan pelancong, sekali gus mengelakkan berlakunya kesesakan di kaunter pemeriksaan.

Beliau berkata, contohnya Singapura dan Malaysia akan memiliki sistem kereta api pada masa akan datang yang hanya mengambil masa lima minit saja dari Singapura ke Malaysia dan sebaliknya.

“Jadi kita akan menambah baik kesalinghubungan ini dengan hanya satu pusat pemeriksaan imigresen antara dua negara. Kita tidak perlu (lakukan) di Singapura sekali dan Malaysia sekali.

“Lapangan terbang di Malaysia juga akan ditambah baik, misalnya mempercepatkan proses pengambilan bagasi dan menambah pintu automatik untuk memudahkan urusan kemasukan pelancong,” katanya ketika ditemui selepas tamat program pemukiman.

Shaharuddin berkata, Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula esok tidak memberi kesan besar terhadap sektor pelancongan Malaysia dan kebanyakan negara serantau.

Menurutnya, terdapat negara yang menantikan cuaca hujan dan keadaan berangin bagi penganjuran acara-acara tertentu.

“Sebenarnya sektor pelancongan tidak terganggu dengan monsun sebab ada sektor pelancongan yang mengharapkan keadaan itu (hujan). Contohnya aktiviti luncur ombak dan rainforest challenge yang memang perlukan keadaan berangin dan hujan bagi menjadikan cabaran lebih menarik.

“Di Malaysia pun sama. Kita tidak terjejas sangat kecuali tempat-tempat tertentu yang terputus hubungan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN