NEW YORK: Bintang Inter Miami, Luis Suarez digantung enam perlawanan selepas terbabit insiden meludah pada aksi final Piala Liga menentang Seattle Sounders minggu lalu.
Pemain berusia 38 tahun itu didapati meludah ke arah pegawai Sounders selepas tamat perlawanan yang menyaksikan Miami tewas 0-3.
Jawatankuasa Tatatertib Piala Liga dalam kenyataan berkata penggantungan itu hanya terpakai untuk edisi tahun depan, namun MLS berhak mengenakan hukuman tambahan.
Selain Suarez, rakan sepasukannya Sergio Busquets turut digantung dua perlawanan manakala Tomas Aviles menerima hukuman tiga perlawanan.
Jurulatih Seattle, Steven Lenhart pula digantung lima perlawanan ekoran terbabit dalam kekecohan.
Insiden bermula apabila Suarez bertindak mencekik pemain muda Seattle, Obed Vargas sebaik tamat perlawanan sebelum situasi bertukar tegang.
Ketika berjalan keluar, kamera merakamkan Suarez meludah ke arah pegawai keselamatan Seattle sekali gus mencetuskan kontroversi.
Bekas penyerang Barcelona itu kemudiannya membuat permohonan maaf di Instagram dengan mengakui tindakannya keterlaluan.
“Ia satu detik penuh ketegangan dan kekecewaan, di mana selepas tamat perlawanan berlaku perkara yang tidak sepatutnya berlaku, namun itu bukan alasan untuk reaksi saya.
“Saya akui kesilapan itu dan amat menyesalinya. Saya rasa sangat bersalah dengan apa yang berlaku.
“Saya tidak mahu melepaskan peluang untuk mengakui serta memohon maaf kepada semua yang tersinggung dengan tindakan saya,” kata Suarez.
Karier Suarez memang tidak sunyi dengan insiden tatatertib termasuk digantung empat bulan pada Piala Dunia 2014 kerana menggigit Giorgio Chiellini. – AGENSI