LANGKAWI: Tiga nelayan yang baru melabuh pukat di kawasan perairan dekat Tanjung Belua, di sini terkejut apabila melihat objek berwarna merah terapung dalam keadaan tidak bergerak, pada Sabtu lalu.
Salah seorang mereka, Muhd. Azham Azmi, 34, berkata, mereka hanya mengetahui objek tersebut adalah manusia setelah mendekatinya pada pukul 6.50 petang.
“Saya terkejut bila nampak wanita berbaju merah hanya berpaut pada dua keping papan. Dia langsung tidak menjerit meminta tolong, mungkin terlalu lemah.
“Bila nampak kehadiran kami, barulah dia bergerak sedikit. Saya dan dua lagi rakan terus naikkan dia ke dalam bot serta berikannya minuman dan kek, tetapi dia hanya minum sedikit-sedikit, mungkin kerana susah hati,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Nelayan Kampung Sungai Menghulu di sini semalam.
Muhd. Azham berkata, mereka turut memberi selimut dan membiarkan wanita berusia lingkungan 40-an yang dipercayai etnik Rohingya itu berehat seketika.
“Semasa dalam bot dia cuba menceritakan sesuatu tetapi kami tidak faham bahasa pertuturannya, namun dia memberi isyarat supaya kami menghantarnya ke daratan.
“Tempat dia terapung tidak jauh dari daratan iaitu kira-kira dua batu nautika tetapi kawasan itu berbatu dan berbahaya untuk naik. Tiada barangan lain ditemui bersama mangsa,” ujarnya.
Menurutnya, dia kemudian menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sebelum bot agensi berkenaan tiba untuk mengambil mangsa kira-kira setengah jam kemudian.
Katanya, ketika itu dia dapat merasakan bot dinaiki mangsa karam semasa cuba memasuki perairan negara, namun tiada maklumat lanjut berhubung insiden itu.
“Waktu itu kami belum tahu ada bot membawa migran karam dekat Pulau Tarutao, Thailand tambahan pula keadaan semakin gelap dan tak nampak ada mangsa lain di kawasan sekitar,” katanya. – UTUSAN










