PETALING JAYA: Beregu campuran No. 2 negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai mara ke peringkat 16 terbaik selepas menundukkan wakil Taiwan, Lin Bing Wei-Lin Jhih Yun pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong di Hong Kong, hari ini.
Pasangan No. 8 dunia itu, bagaimanapun, memulakan aksi mereka agak perlahan sebelum bangkit untuk menutup aksi dengan kemenangan ke atas beregu bukan pilihan, Bing Wei-Jhih Yun 13-21, 23-21, 21-8 dalam masa 41 minit.
Kemenangan tersebut bakal menemukan pasangan suami isteri itu dengan rakan senegara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin pada pusingan kedua.
Pang Ron-Su Yin yang menghuni ranking No. 14 dunia itu tidak berdepan masalah menewaskan beregu Ukraine, Oleksii Titov-Yevheniia Kantemyr 21-14, 21-14 dalam masa 24 minit.
Pertembungan dua beregu tersebut di peringkat 16 terbaik secara tidak langsung telah mengesahkan salah satu slot suku akhir, Jumaat ini menjadi wakil Malaysia.
Pada suku akhir, sama ada Soon Huat-Shevon ataupun Pang Ron-Su Yin berpotensi besar berdepan beregu No. 2 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, jika tiada kejutan dalam laluan gandingan China itu ke peringkat seterusnya. – UTUSAN










