KUANTAN: Tiga mata penuh menjadi buruan skuad futsal negara dalam aksi pembukaan Kumpulan G pusingan kelayakan Piala Asia 2026 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Tertutup SUKPA, malam ini.
Ketua jurulatih negara, Rakphol Sainetngam mengakui kemenangan amat penting bagi menjadi penentu untuk membuka laluan ke Piala Asia Futsal di Jakarta, Indonesia pada Januari tahun depan.
“Saya jangka aksi bakal berlangsung sengit dan yakin pemain dapat beraksi seperti bermain dalam perlawanan dan saya berharap kami akan menerima sokongan padu daripada peminat Malaysia di Stadium Tertutup SUKPA,” katanya semalam.
Jurulatih dari Thailand itu nyata berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pasukan sambil melakukan beberapa penambahbaikan.
Bagi Rakphol, kejohanan ini merupakan tugasan terakhir dia bersama pasukan negara dengan misi utama memastikan Malaysia layak ke pusingan akhir di Indonesia tahun depan.
“Kami telah bersama selama dua tahun dan telah menyertai dua kejohanan sebelum ini tetapi masih belum mencapai kejayaan yang diinginkan. Dalam kejohanan ini, kami berharap dapat menunjukkan prestasi yang mantap dan akhirnya mencapai matlamat,” katanya.
Malaysia akan memulakan kempen kelayakan menentang UAE, diikuti aksi menentang Bangladesh pada 22 September sebelum menutup tirai kelayakan dengan berdepan Iran pada 24 September.
Lapan juara kumpulan dan tujuh pasukan naib juara terbaik daripada pusingan kelayakan akan menyertai tuan rumah Indonesia dalam edisi ke-18 Piala Asia Futsal.
Sementara itu, pemain kebangsaan Khairul Effendy Bahrin berkata semua pemain kini berada pada tahap terbaik dan kelebihan beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
“Paling penting, kami bermain di laman sendiri. Jadi, tidak ada alasan. Tekanan memang ada, tetapi sebagai pemain kami anggap ia seperti perlawanan di (peringkat) kelab. Semua orang, sama ada di dalam atau di luar gelanggang perlu berikan 100 peratus,” katanya.
Khairul Effendy turut menzahirkan penghargaan atas kepercayaan jurulatih kepada dirinya, selain bertekad memastikan rakan sepasukan bersemangat menghadapi cabaran getir itu.
“Menentang UAE 50-50. Siapa yang lakukan kesilapan, mereka akan kalah. Jadi, Malaysia mesti elak kesilapan dan berikan yang terbaik. Jika dapat menewaskan UAE, itu adalah langkah kanan untuk kita mara ke pusingan akhir,” katanya.
Mengulas saingan kumpulan, Khairul mengakui cabaran untuk muncul pendahulu Kumpulan G agak sukar apabila perlu berdepan dengan Iran yang kini menghuni ranking kelima dunia.
Namun, kapten skuad futsal Selangor itu menegaskan Malaysia tidak akan memberi laluan mudah kepada mana-mana pasukan.
“Kita fokus dahulu pada aksi menentang UAE, kemudian Bangladesh dan akhirnya Iran. Semua lawan sukar, tetapi kami akan pastikan mereka juga berdepan kesukaran menentang Malaysia. Kami akan beri 100 peratus dalam setiap perlawanan,” katanya.-UTUSAN










