TOKYO: Oblique Seville mencipta sejarah tersendiri apabila meraih emas 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Dunia dengan catatan peribadi terbaik 9.77 saat (s), semalam.
Pelari Jamaica itu mengetuai podium 1-2 selepas rakan senegaranya, Kishane Thompson meraih perak dengan 9.82s, manakala juara bertahan, Noah Lyles dari Amerika Syarikat (AS) sekadar membawa pulang gangsa dengan 9.89s.
Kejayaan itu sekali gus menamatkan penguasaan AS dalam acara riben biru tersebut yang berlarutan sejak 2015 ketika legenda Usain Bolt kali terakhir bergelar juara.
“Perasaan ini sungguh luar biasa, kali terakhir Jamaica menang emas dunia adalah menerusi Usain Bolt pada 2016, jadi saya bangga kerana berjaya membuktikan diri sebagai pesaing sebenar.
“Saya tahu bakat saya dan yakin pada diri sendiri, tahun lalu saya gagal kerana kecederaan tetapi kali ini saya membuktikan mental saya lebih kuat dan berjaya menguasai 30 meter terakhir,” kata Seville.
Seville, 23, sebelum ini menjadi pelari paling pantas musim ini selepas tampil konsisten di peringkat separuh akhir meskipun hampir tersingkir pada saringan awal.
Lyles yang kembali daripada kecederaan tetap berpuas hati dengan gangsa, namun mengakui tidak mampu menyaingi kepantasan Seville di garisan penamat.
Aksi Tokyo juga menyaksikan kejutan apabila juara Olimpik 200m dari Botswana, Letsile Tebogo tersingkir akibat kesilapan permulaan (false start). – AGENSI