PETALING JAYA: Nama Jonah Chang Rigan sekali lagi meniti di bibir peminat olahraga tanah air apabila jaguh lontar peluru itu melakar sejarah baharu dengan catatan sensasi 18.66 meter (m).
Rekod luar biasa itu hadir pada pentas Kejohanan Olahraga Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) yang berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru, hari ini.
Lebih manis, balingan emas Jonah bukan sahaja memastikan takhta kebangsaan terus menjadi miliknya, malah memadam rekod lama 18.46m yang dilakar di Terbuka Pahang tahun lalu.
Atlet Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) itu kini semakin hampir mengesahkan dirinya sebagai taruhan emas negara menjelang Sukan SEA 2025 di Bangkok, Disember depan.
Lebih menarik, lontaran 18.66m yang dilakukannya sudah pun melepasi catatan pemenang emas dua edisi terdahulu Sukan SEA – 18.14m (Hanoi 2022) milik William Morrison dari Filipina dan 17.48m (Phnom Penh 2023) milik jaguh Thailand, Jakkapat Noisri.
Dalam erti kata lain, Jonah bukan sekadar meruntuhkan rekod negara, bahkan memberi amaran awal bahawa saingan serantau bakal menjadi gelanggang penguasaan baharunya.
Sebagai bonus, rekod kejohanan SIPMA turut berkecai selepas angka lama 15.81m milik bekas jaguh negara, Adi Alifuddin Hussin, tidak mampu bertahan di tangan generasi pelapis emas ini.
Final hari ini turut menyaksikan Earl Isaac Mitzler Fredolin dari Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) membawa pulang perak dengan lontaran 15.39m, manakala gangsa diraih Nathanial Majid dari MASUM menerusi catatan 15.14m. – UTUSAN