Qabil juara, Hakim tempat ketiga bagi musim 202

Qabil juara, Hakim tempat ketiga bagi musim 2025

Qabil Irfan meraikan kejayaannya bersama krew pasukan selepas disahkan selaku juara keseluruhan ESBK Talent pada Kejohanan Superbike Sepanyol 2025 di Litar Estoril, Portugal, hari ini. - Ihsan SIC Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba remaja negara, Qabil Irfan Azlan melakar sejarah buat Malaysia selepas dia dinobatkan selaku juara keseluruhan bagi kategori ESBK Talent pada pusingan keenam Kejohanan Superbike Sepanyol 2025 di Litar Estoril, Portugal, hari ini.

Anak muda berusia 13 tahun itu beraksi cemerlang apabila tidak dicabar pesaingnya untuk melengkapkan perlumbaan 2 dengan masa terpantas 25 minit 18.775 saat (s).

Tempat kedua menjadi milik Oliver Cantos dari Sepanyol dengan lakaran masa 25:21.530s, manakala, kedudukan ketiga dimenangi oleh rakan senegaranya, Izan Rodriguez yang mencatat masa 25:23.222s.

Qabil Irfan yang mewakili pasukan Frando Racing VHC Team Liqui Moly itu turut menjuarai perlumbaan 1 yang berlangsung, semalam.

Ini bermakna 50 mata penuh berjaya dikutip daripada dua perlumbaan di pusingan keenam dan sekali gus menyaksikan Qabil Irfan mengukuhkan cengkamannya di kedudukan teratas selepas mengumpul 252 mata.

Pencabar terdekat Qabil Irfan iaitu pelumba Switzerland, Alessio Arnold yang menamatkan saingan di tangga keenam, menokok 10 mata menjadikan kutipan keseluruhan 191 mata, manakala, Enzo Zaragoza dari Sepanyol di tempat ketiga dengan 172 mata selepas dia menamatkan aksinya di tempat kelima (11 mata).

Perlumbaan masih berbaki satu lagi pusingan di Litar Jerez pada 6-9 November ini, dengan kedudukan kedua dan ketiga masih menjadi rebutan di antara Arnold, Zaragoza dan Izan Rodriguez juga dari Sepanyol yang berada kedudukan keempat selepas mengumpul 166 mata.

Qabil Irfan ketika ditemu bual selepas perlumbaan tamat melahirkan rasa gembira berjaya melunaskan impian untuk muncul juara pada ESBK Talent.

“Hari ini saya berjaya menang dan gembira dengan pencapaian saya, terima kasih kepada pasukan yang banyak membantu saya dan terima kasih juga kepada penaja serta keluarga di tanah air. Gracias, Sepanyol,” katanya.

Sementara itu, Hakim Danish Ramli menamatkan musim 2025 dalam perlumbaan Red Bull MotoGP Rookies Cup di kedudukan ketiga keseluruhan selepas dia terjatuh dan tidak dapat menamatkan aksinya dalam perlumbaan 2 di Litar Misano, Itali, hari ini.

Pelumba berusia 17 tahun itu mengumpul 171 mata, manakala, Brian Uriarte dari Sepanyol yang telahpun dinobatkan sebagai juara lebih awal dalam perlumbaan 1 mengutip 236 mata, manakala pelumba Indonesia, Veda Pratama di kedudukan kedua dengan 181 mata.

Walaupun tidak dapat mengejar impian selaku juara keseluruhan, tetapi, keputusan yang dicatat Hakim Danish itu merupakan pencapaian terbaik buat Malaysia.

Anak jati Terengganu itu melakar pencapaian yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana pelumba negara pada kejuaraan tersebut sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN