BUKIT MERTAJAM : Pulau Pinang akan melaksanakan beberapa projek tebatan banjir secara menyeluruh bagi memastikan masalah banjir berulang tidak lagi berlaku khususnya di kawasan-kawasan yang sering dinaiki air sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, salah satu daripada projek tersebut ialah Projek Tebatan Banjir Taman Machang Bubok di sini yang bernilai RM1.95 juta.
Beliau berkata, kawasan itu dikenal pasti sebagai salah satu daripada lokasi ‘hotspot’ banjir sebelum ini apabila bencana tersebut direkodkan pernah berlaku sehingga lapan kali dalam setahun khususnya di Lorong 17, 18 dan 19 yang melibatkan hampir 80 buah rumah.
Katanya, kerja fizikal bagi projek berkenaan pula telah bermula sejak 21 Februari lalu dan ia dijangka mengambil masa sehingga 18 bulan untuk disiapkan iaitu pada 20 Ogos tahun depan.
“Kami (kerajaan negeri) sedar masalah ini agak serius. Justeru, kami komited untuk menyediakan penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah banjir di kawasan ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Zairil berkata, selain Taman Machang Bubok, kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang juga sedang melaksanakan beberapa projek tebatan banjir yang lain dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT).
Beliau berkata, antaranya ialah Projek Tebatan Banjir Sungai Permatang Rawa dengan jumlah peruntukan sebanyak RM15,608,778.60.
“Projek ini telah mencapai 71 peratus kemajuan dan dijangka siap pada penghujung tahun 2026. Apabila siap kelak, ia dijangka menyelesaikan masalah banjir di Kampung Permatang Rawa, Kampung Padang Lalang, Kampung Tanah Liat dan Taman Guru, sekali gus memberi manfaat serta perlindungan kepada kira-kira 1,000 penduduk setempat,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Zairil berkata, kerajaan negeri turut telah memohon kepada Kementerian Ekonomi melalui Rolling Plan Pertama (RP1), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) bagi melaksanakan Projek Tebatan Banjir Sungai Kilang Ubi dengan kos sebanyak RM105 juta.
“Projek ini juga amat penting kerana kawasan sekitar Sungai Kilang Ubi sering terjejas akibat banjir kilat. Dengan pelaksanaan projek ini, tahap perlindungan banjir dapat dipertingkatkan sekali gus memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat,” katanya lagi.-UTUSAN










