KUALA LUMPUR: Penjawat awam diingatkan supaya sentiasa menjaga ketertiban dan disiplin ketika menggunakan media sosial bagi mengelakkan sebarang tindakan tatatertib.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, walaupun penjawat awam bebas untuk bersuara, mereka perlu berhati-hati agar tidak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan peraturan perkhidmatan awam.
Beliau berkata, penjawat awam juga perlu sentiasa menjaga ketertiban ketika menggunakan platform ini. Boleh bercakap, tidak menjadi masalah, tetapi biarlah berhemah.
“Sekiranya Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) meminta MCMC mengenal pasti mana-mana penjawat awam yang mengeluarkan kandungan tidak wajar di media sosial, kita mempunyai kemampuan untuk melakukannya.
“Bukan tujuan saya untuk menakutkan, tetapi kemampuan itu ada. Malah sebelum ini kita sudah mengesan beberapa penjawat awam sama ada guru, anggota tentera ataupun pegawai polis yang membuat kenyataan atau komen dalam media sosial yang bersifat tiga R (agama, raja dan kaum) serta melanggar disiplin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perkhidmatan Awam kali ke 29 tahun 2025 di Auditorium Seri Angkasa hari ini.
Fahmi menegaskan penjawat awam perlu lebih berhati-hati agar tidak terjerumus dalam pelanggaran disiplin hanya kerana aktiviti di media sosial. – UTUSAN









