Pemimpin patut menyatukan umat Islam

Pemimpin patut menyatukan ummah

MUHAMAD FAIZUL HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMAT Islam sewajarnya menjadikan agenda perpaduan sebagai satu tuntutan yang utama. Ia selaras dengan kedudukan agama Islam yang berdiri di atas asas keamanan, persefahaman serta kasih sayang sesama manusia.

Namun begitu, realiti hari ini memperlihatkan pelbagai isu yang menggugat perpaduan ummah. Pertelingkahan dan persengketaan semakin ketara sehingga menimbulkan kebimbangan besar yang merugikan umat Islam sendiri apabila keretakan mula membarah dalam kehidupan.

MUHAMAD FAIZUL HUSAIN
Asal: Cherang Ruku, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan
Usia: 50 tahun.
Sejarah Pendidikan:
• Pondok Pengajian Islam Pasir Tumbuh, Kota Bharu, Kelantan.
• Pondok Pengajian Islam Seligi, Pasir Puteh, Kelantan
• Pondok Kedi Pattoni, Wilayah Selatan Thailand
• Ribat Tarim, Hadramaut, Yaman
• Markaz Nil, Kaherah, Mesir
Tugas hakiki:
Penceramah bertauliah
Mengajar kitab Usuluddin, Feqah dan Tauhid di masjid Kelantan dan Terengganu

Berkongsi pandangan berkait perpaduan dan berkasih sayang, pendakwah bebas, Ustaz Muhamad Faizul Husain berkata, seharusnya tiada halangan untuk mengukuhkan kesatuan kerana umat Islam memiliki asas terkuat dalam mengekalkan kebersamaan iaitu akidah dan tauhid.

Menurutnya, tauhid adalah ikatan hati yang menyatukan jiwa umat Islam di mana sahaja mereka berada kerana persaudaraan Islam itu lahir daripada tautan roh, yang memupuk kecintaan, saling hormat-menghormati dan kelembutan hati berasaskan iman dan takwa.

“Namun, perpaduan ini tidak pernah sepi daripada ujian. Fitnah dan kebencian adalah racun yang paling berbahaya. Jika ia tidak dibendung pastinya membibit perpecahan dan permusuhan yang hanya membawa kepada kerugian besar serta menjadi musibah kepada umat Islam sendiri.

“Justeru, perbezaan yang wujud dalam kalangan umat Islam perlu diuruskan dengan hikmah agar tidak menjadi api permusuhan apabila lunturnya kasih sayang dan saling menghormati,” katanya ketika ditemui di Kampung Ketereh Tugal, Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini.

Muhamad Faizul berkata, mutakhir ini masih terlihat budaya caci-mencaci, keji-mengeji dan perli-memerli dalam kalangan umat Islam sendiri di pelbagai tempat khususnya di media sosial.

Katanya, perkara sedemikian hanya memburukkan keadaan dengan bebasnya sumpah seranah, membuka aib dan fitnah tanpa adab dan hormat sedangkan Allah SWT telah mengingatkan umat Islam dengan firman-Nya:

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai…” (Ali Imran, 3:103)

Muhamad Faizul berkata, ayat ini jelas menunjukkan memelihara tali persaudaraan adalah perintah agama yang bukan sekadar pilihan.

“Peranan pemimpin amat besar dalam menjayakan agenda perpaduan dan penyatuan ummah. Mereka perlu menjadi contoh teladan yang menyatukan, bukan yang menambah luka perpecahan.

“Jika perpaduan diperkukuh oleh pemimpin Islam, ia bukan sahaja menguntungkan ummah tetapi menjadi mesej dakwah kepada masyarakat berbilang bangsa di negara ini,” katanya.

Hakikatnya, tambah beliau, asas tauhid sudah cukup untuk menyatukan umat walaupun terdapat ‘isu panda’ dan perbezaan pandangan.

Katanya, perbezaan pandangan dalam kelompok komuniti tidak dilarang, tetapi ia perlu diurus dengan adab, hikmah dan prinsip Islam.

Allah SWT turut berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih)…” (Al Hujurat, 49:10)

“Rasulullah SAW sendiri telah menunjukkan contoh terbaik apabila Baginda mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar di Madinah. Tindakan ini menjadi asas kepada pembentukan sebuah masyarakat Islam yang kuat dan berwibawa,” katanya.

Beliau berkata, tidak ada jalan lain untuk memperkukuh ummah melainkan kembali kepada asas ukhuwah Islamiah.

“Seharusnya kita kembali bermuhasabah untuk menghentikan sengketa, fitnah dan mencela. Cari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu yang berbangkit.

“Perpaduan bukan sahaja soal survival politik atau kepentingan duniawi semata tetapi ia adalah tuntutan agama yang menjadi jalan menuju reda Allah SWT,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×