PETALING JAYA: Aksi goyah dipamerkan beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah hampir membawa mereka ke laluan keluar, tetapi, mujur berjaya disudahkan dengan kemenangan ke atas Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari pada pusingan pertama China Masters di Shenzhen, China, hari ini.
Pasangan No. 2 dunia itu kelihatan seperti keletihan apabila dipaksa berhempas pulas oleh beregu Indonesia sebelum menang 20-22, 21-16, 22-20 dalam masa 1 jam 13 minit di Shenzhen Arena.
Kemenangan tersebut merupakan kejayaan kedua diukir Pearly-Thinaah ke atas Febriana-Meilysa selepas pada Terbuka Hong Kong, minggu lalu, mereka turut berhasil menewaskan pencabar tersebut di peringkat 16 terbaik.
Pada pusingan kedua, esok, Pearly-Thinaah akan berdepan beregu Amerika Syarikat, Francesca Corbett-Jennie Gai.
Sementara itu, dalam saingan beregu lelaki, gandingan No. 1 Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menumpaskan Liu Kuang Heng-Yang Po Han dari Taiwan 23-21, 19-21, 21-19 dalam masa 60 minit.
Pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy menanti beregu No. 2 dunia itu di peringkat 16 terbaik, esok.
Aaron-Wooi Yik berpeluang membalas dendam ke atas Lane-Vendy selepas beregu No. 14 dunia itu menyekat kemaraan mereka pada pusingan pertama Terbuka Hong Kong, minggu lepas. – UTUSAN










