TOKYO: Olahraga Dunia (WA) tidak menolak kemungkinan kalendar global Sukan Olimpik perlu direka semula susulan cabaran yang dibawa oleh perubahan iklim, selepas atlet terpaksa beraksi dalam suhu yang terik pada Kejohanan Olahraga Dunia di Tokyo baru-baru ini.
Pada awal saingan kejohanan, perbincangan hangat diperkatakan mengenai keadaan cuaca yang terpaksa dihadapi oleh para atlet apabila perlu beraksi dalam suhu melebihi 30 darjah Celcius dengan kelembapan melampau melebihi 90 peratus.
Selain temasya Olimpik setiap empat tahun dan Kejohanan Dunia yang berlangsung dua tahun sekali, WA juga akan menganjurkan Kejohanan Ultimate yang pertama di Budapest pada tahun depan.
Namun, Presiden WA, Lord Coe berkata, acara seperti maraton mungkin perlu diadakan secara berasingan pada waktu berbeza dalam tahun tersebut, semata-mata untuk melindungi atlet daripada keadaan yang tidak selamat pada masa hadapan.
“Ya, saya nampak keperluan itu. Ia bukan sesuatu yang mudah kerana walaupun anda pergi ke musim luruh atau awal musim sejuk, bandar-bandar tersebut masih sangat panas.
“Tetapi saya fikir ini mungkin perlu dilakukan pada satu tahap nanti dan lebih cepat lebih baik,” kata Coe.
Menurut Coe, penyelidikan oleh WA mendapati bahawa 70 peratus atlet melaporkan bahawa perubahan iklim dan haba memberi kesan kepada program latihan dan pertandingan mereka.
“Dari sudut pandang WA, mungkin akan ada isu penjenamaan tetapi saya tidak fikir kita boleh terus meminta atlet acara ketahanan bertanding pada waktu yang menjejaskan prestasi dan mungkin membahayakan keselamatan mereka. Perkara ini perlu ditangani,” katanya. – AGENSI










