KUALA LUMPUR: Pertemuan kedua K. Letshanaa dengan ratu badminton dunia, An Se Young esok bukan sekadar ujian fizikal, sebaliknya medan mengukur kekuatan mental pemain perseorangan wanita utama negara itu.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan, Kenneth Jonassen menegaskan aspek pemikiran adalah kunci utama apabila berdepan pemain No. 1 dunia.
Menurut Jonassen, keberanian mencabar kualiti lawan tidak semestinya membawa kemenangan, namun mampu membina keyakinan diri.
“Apabila menentang pemain terbaik dunia, pemikiran amat penting kerana ia menentukan bagaimana anda mahu mendekati setiap mata,” katanya.
“An Se Young jelas pemain paling lengkap ketika ini, dia sedang berada pada prestasi terbaik selepas menang minggu lalu,” kata Jonassen selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini
Minggu lalu, Se Young merangkul gelaran China Masters sekali gus menambah koleksi kejuaraan ketujuh musim ini.
Tambah Jonassen, peluang menentang juara Olimpik Paris itu harus dijadikan pengalaman berharga buat Letshanaa yang kali pertama bertemu bintang Korea Selatan berkenaan dalam kejohanan terbuka.
“Saya mahu lihat bagaimana Letshanaa memberi respons terhadap kualiti lawan dan pada masa sama melaksanakan pelan permainannya sendiri,” jelasnya.
Untuk rekod, kali terakhir pemain berusia 22 tahun itu berdepan Se Young ialah pada separuh akhir Piala Sudirman 2023 yang menyaksikan dia tewas straight set 10-21, 13-21.
Sementara itu, Jonassen turut menilai cabaran perseorangan lelaki, Leong Jun Hao yang bakal berentap dengan pemain No. 19 dunia dari Indonesia, Alwi Farhan.
“Alwi pemain muda yang berbeza daripada seniornya, lebih pelbagai gaya permainan dan menjadikan perlawanan sangat terbuka,” ujarnya.
“Cabaran sebenar Jun Hao ialah mencari corak permainan sesuai selain menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang yang agak berangin ketika latihan,” tambahnya. – UTUSAN