PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil yang diperoleh dari Sabah.
Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata, ia susulan keputusan Kerajaan Persekutuan yang segera memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Sabah.
“Jabatan Peguam Negara memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh itu, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak akan membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil,” kata AGC dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Mesyuarat Khas Jemaah Menteri telah diadakan pada hari ini bagi
membincangkan berkenaan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu terkait
Pemberian Khas Negeri Sabah.
Ia diputuskan dalam Permohonan Semakan
Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society terhadap Kerajaan Malaysia.-UTUSAN










