LONDON: Arsenal akan memulakan misi memburu kejuaraan Liga Juara-Juara (UCL) berdepan Athletic Bilbao pada awal pagi Rabu ini, dengan jentera serangan yang lebih berbisa hasil pelaburan besar pada jendela perpindahan musim panas.
Skuad kendalian Mikel Arteta mara ke separuh akhir pertandingan kelab elit Eropah itu musim lalu, kali pertama sejak tahun 2009 sebelum tunduk di tangan pasukan juara Paris Saint-Germain (PSG).
Sementara di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal menamatkan saingan di tangga kedua buat kali ketiga berturut-turut, dan antara faktornya adalah ketumpulan jentera serangan.
Menyedari kelemahan itu, Arteta segera memperkukuh barisan hadapan dengan membawa masuk Viktor Gyokeres, Noni Madueke dan Eberechi Eze, sekali gus memberi lebih variasi dan pilihan di jentera serangan.
Pelaburan itu, membuahkan hasil susulan kecederaan yang menimpa Bukayo Saka, Kai Havertz dan Gabriel Jesus di awal musim.
Madueke cemerlang mengisi kekosongan ditinggalkan Saka, manakala Gyokeres menjaringkan gol ketiga peribadi dalam empat penampilan selepas meledak ketika Arsenal menewaskan Nottingham Forest 3-0, kelmarin.
Eze pula tampil dengan penampilan sulung di posisi sayap kiri dan mencipta hantaran gol buat Gyokeres, manakala pemain tengah Sepanyol, Martin Zubimendi membuka akaun jaringan peribadi di Arsenal dengan dua gol pertamanya sejak berpindah dari Real Sociedad.
Arsenal kini mencatat tiga kemenangan daripada empat aksi awal EPL, hanya tewas tipis 0-1 di tangan Liverpool susulan sepakan percuma lewat permainan oleh Dominik Szoboszlai.
Bagaimanapun, tekanan semakin memuncak buat Arteta yang dituntut menghadirkan trofi pertama sejak 2020 selepas kelab itu berbelanja besar saban tahun.
“Ia bukan soal apa yang kami mahu lakukan, tetapi apa yang kami perlu lakukan. Kami sentiasa mahu menang dan bekerja keras memburu trofi untuk kelab setiap tahun tetapi masa itu belum tiba,” tegas Arteta.
Kapten Arsenal, Martin Odegaard mengalami kecederaan bahu dan terpaksa dikeluarkan seawal minit ke-17 ketika aksi berdepan Nottingham.
“Kami perlu menilai bersama doktor, tetapi saya yakin dia akan cuba sedaya upaya untuk cergas menjelang Selasa,” jelasnya.
Arsenal belum pernah memenangi Liga Juara-Juara dan kali terakhir menjuarai EPL adalah pada 2004.– AFP