PETALING JAYA: Bintang Muay Thai muda negara, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar meraih pingat emas di pentas Kejuaraan Remaja Dunia Persatuan Persekutuan Muay Thai Antarabangsa (IFMA) 2025 Pusat Pameran Nasional Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), malam tadi.
Petinju berusia 16 tahun itu mempersembahkan aksi cemerlang ketika bertanding dalam kategori junior 15 hingga 16 tahun lelaki bawah 63.5 kilogram (kg).
Mikail atau mesra disapa Miki berjaya menumbangkan wakil Australia, Lincoln Davis selepas pengadil menghentikan pertarungan atas faktor keselamatan pada pusingan ketiga ketika wakil negara mendahului mata 20-18.
Kejayaan ini menobatkan Miki sebagai juara dan mengubat kedukaannya yang sebelum ini tersingkir di peringkat suku akhir kategori Junior 16–17 lelaki bawah 60kg.
Kemenangan itu turut membuktikan kemampuan dan semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh petarung muda berkenaan dalam memburu kejuaraan.
Dengan kejayaan ini, ia memberi petanda positif kepada Miki untuk terus melakar nama di pentas antarabangsa dan mengharumkan nama Malaysia dalam sukan tempur itu.-UTUSAN