BANGKOK: Berjaya mengawal mental dan emosi menjadi kelebihan buat ratu muay thai negara, Yan Jia Chi menewaskan ‘rakan seguru’ untuk meraih pingat emas acara wai kru di Sukan SEA Thailand 2025, semalam.
Dalam pentas final yang berlangsung di Stadium Lumpinee itu, Jia Chi atau lebih dikenali sebagai Angie mempamerkan aksi memukau untuk menewaskan juara dunia dari Thailand, Thongduang Thanawan.
Lebih menarik, pertembungan di pentas final itu melibatkan rakan sepelatih antara Angie dan Thanawan kerana kedua-duanya berkongsi tempat latihan yang sama di Thailand National Sport University.
Bagaimanapun, Angie mengakui kejayaan meraih emas itu bukan satu tugas yang mudah kerana dia perlu membuat pengorbanan besar termasuk ‘berperang’ dengan kecederaan lutut sejak dua tahun lalu.
“Saya tidak balik ke Malaysia selama setahun , cuma dalam tempoh itu ada keluar menyertai kejohanan sebelum Sukan SEA kali ini. Jadi, Jadi saya anggap kejayaan ini sangat berbaloi untuk saya.
“Di final, yang membezakan saya dengan lawan adalah kekuatan emosi dan mental yang saya miliki. Persaingan sengit kerana kami dari pusat latihan yang sama,” kata pelajar Thailand National Sport University jurusan Rekreasi dan Pelancongan itu.
Ditanya mengenai kecederaan yang dialami, Angie mendedahkan, dia berdepan kecederaan sejak 2023 dan terpaksa mengambil ubat tahan sakit untuk sesi latihan dan menyertai mana-mana kejohanan.
“Saya cedera sejak 2023, jadi saya mengambil ubat tahan sakit untuk sertai kejohanan. Sekarang sudah boleh beraksi dengan baik dan selepas ini perancangan aya adalah untuk balik meraikan kejayaan bersama keluarga,” katanya.
Untuk rekod Angie merupakan pemenang pingat emas sebanyak tiga kali dalam Kejohanan Dunia Bawah 23 Tahun (U23) anjuran Persekutuan Muaythai Antarabangsa (IFMA) pada 2023 di Thailand, 2024 (Greece) dan 2025 (Turkiye).
Selain itu, Angie turut merangkul pingat emas dalam kategori solo wanita wai kru di Kejohanan Asia IFMA yang berlangsung di Wilayah Thai Nguyen, Vietnam tahun ini.
Angie turut mencipta sejarah dalam Sukan Malaysia (Sukma) apabila meraih pingat emas bagi kategori Mai Muay duo di Kuala Lumpur pada 2022 dan seterusnya mengekalkan pingat emas sekali lagi di Sukma 2024 di Sarawak. – UTUSAN










