PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh mahu mesej anti-buli dapat diperluaskan kepada semua rakyat Malaysia dan tidak hanya membabitkan pelajar institusi semata-mata.
Beliau berkata sedemikian susulan satu video tular yang menunjukkan sekumpulan pelajar dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri memukul seorang pelajar lain di cawangan tersebut pada Jumaat lalu.
Menurutnya, walaupun polis telah mengklasifikasikan kes tersebut sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA) selepas siasatan dijalankan, IKBN Miri akan mengadakan satu sesi pendengaran segera untuk menentukan hukuman yang sesuai terhadap pelaku kejadian.
“Polis juga akan menempatkan pegawai perhubungan di IKBN serta mengadakan ceramah anti-buli setiap tiga bulan selain menyediakan peti aduan di institusi itu.
“Saya rasa ceramah anti-buli ini wajar diperluas kepada semua rakyat Malaysia kerana perbuatan membuli tidak terhad kepada usia atau institusi. Walaupun dalam kes ini pelajar terbabit mendakwa ia sekadar gurauan, saya tidak boleh terima alasan gurauan,” katanya pada sidang media, semalam.
Hannah turut menyatakan rasa puas hati terhadap tindakan pantas pihak IKBN Miri dalam menangani perkara tersebut.
“Saya gembira dengan garis masa tindakan IKBN Miri. Saya mahu memastikan ibu bapa berasa yakin untuk menghantar anak mereka ke IKBN Miri,” katanya. – UTUSAN










