MISANO: Marc Marquez menyanjung keberanian Marco Bezzecchi selepas pelumba Itali itu memberikan tentangan sengit pada aksi Grand Prix (GP) San Marino, semalam.
Juara dunia enam kali itu mengakui bahawa Bezzecchi tidak pernah berputus asa biarpun ditekan habis-habisan pada pusingan terakhir perlumbaan.
“Ketika saya meningkatkan rentak untuk cuba memecahkan cabarannya, Marco tetap membalas dengan hebat.
“Pada pusingan akhir, saya sudah letak semua kad di atas meja, tetapi jawapan Marco benar-benar luar biasa,” kata Marquez.
Marquez akhirnya muncul juara dengan kelebihan hanya 0.5 saat (s) selepas kedua-dua pelumba saling berbalas catatan masa terpantas.
Lebih manis, kemenangan itu diraikan dengan gaya ala Lionel Messi di depan penyokong tempatan yang sering menjadi pencabar psikologi buatnya.
Kini Marquez berpeluang dimahkotakan juara dunia buat kali ketujuh dalam kelas perdana di Jepun, hanya memerlukan tiga mata lebih baik daripada adiknya, Alex Marquez.
“Selepas kesilapan semalam (kelmarin), saya balas dengan cara terbaik iaitu menang perlumbaan, dan itu sudah cukup istimewa,” katanya. – AGENSI