SEREMBAN: Five Power Defence Arrangements (FPDA) yang ditandatangani Australia, New Zealand, United Kingdom (UK), Singapura dan Malaysia selepas Perang Dunia Kedua perlu dipertingkat, diperkasa dan diuar-uarkan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia berpandangan ia perlu dilakukan susulan konflik dalam rantau Asia Tenggara termasuk Laut China Selatan yang semakin mencabar.
Katanya, dalam Mesyuarat Menteri Luar Australia dan Malaysia Ketujuh di Melbourne bermula 11 September ini, perkara itu antara agenda yang bakal dibawa untuk meningkatkan hubungan dua hala terutamanya dalam perdagangan, pelajaran, teknologi serta pertahanan.
“Australia juga merupakan rakan penting Malaysia daripada segi pertahanan termasuk melalui FPDA bersama Australia, New Zealand, UK, Singapura dan Malaysia yang diwujudkan selepas Perang Dunia Kedua tetapi gabungan ini tidak nampak dalam radar.
“(Kita mahu) FPDA ini dapat dipertingkat, diperkasa dan diuar-uarkan. Terutamanya sekarang dalam rantau Asia Tenggara, Laut China Selatan yang semakin mencabar dan sibuk.
“Urusan pertahanan negara serta persisiran pantai begitu penting dan kita sudah ada mekanisme yang perlu diperkasakan tanpa memerlukan perjanjian baharu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Karnival Kemerdekaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Pinggiran Senawang di sini, hari ini.
Mohamad berkata, isu penempatan pelarian suaka yang dicadangkan Australia ke sebuah pulau di Lautan Pasifik juga akan dibangkitkan dalam mesyuarat berkenaan.
“Mereka (Australia) bercadang menghantar pelarian di sebuah pulau di Lautan Pasifik. Itu perkara yang perlu difikirkan dua tiga kali. Jika ditempatkan di luar kawasan Australia, di pulau-pulau, kadang-kadang lebih susah dari negara sendiri.
“Saya akan sebut perkara ini dalam mesyuarat dua hala nanti bagaimana dan apa cara yang boleh dilakukan. Jika mereka hendak lakukan, saya harap mereka minta pandangan daripada pelarian tersebut,” katanya. – UTUSAN









