Machida gagal sempurna penalti, JDT bernasib baik raih satu mata

Machida gagal sempurna penalti, JDT bernasib baik raih satu mata

PENYERANG JDT Bergson Da Silva cuba melepasi kawalan pertahanan Machida Zelvia FC, Gen Shoji pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri di sini. UTUSAN/JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI : Hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk meraih kemenangan pertama dalam Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) tak kesampaian apabila sekadar seri 0-0 ketika berdepan FC Machida Zelvia di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Skuad Harimau Selatan bernasib baik meraih satu mata setelah pasukan pelawat gagal menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama perlawanan.

Jarang-jarang berlaku tapi itu yang terjadi di Stadium Sultan Ibrahim, apabila skuad Harimau Selatan diasak hebat pasukan lawan sehingga memaksa mereka lebih banyak berkampung di kawasan sendiri di awal perlawanan.

Ketiadaan Joao Figueiredo, Hector Hevel dan Jon Irazabal tampak dirasai setelah penguasaan permainan didominasi Zelvia pada separuh masa pertama.

Corak permainan berhati-hati Xisco Munoz yang menggunakan formasi 4-5-1 hampir menjerat pasukan apabila kesilapan Oscar Arribas yang membuat hantaran ke belakang hampir dihukum pasukan pelawat pada minit ke-13.

Pada minit ke-17, Machida Zelvia hampir memecah kebuntuan menerusi sepakan voli Asahi Masuyama namun penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed pantas meluru membuat hadangan.

Pada minit ke-20, penonton tergamam apabila pengadil perlawanan Kim Jong Hyeok menghadiahkan sepakan penalti buat pasukan pelawat setelah Jonathan Silva melakukan kekasaran terhadap Na Sangho di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, sepakan penalti diambil oleh Yuki Soma berjaya memperdayakan Ahmad Syihan namun bola yang disepak kencang itu sekadar menggegar tiang kanan gol JDT.

JDT mula mengatur serangan balas ke arah kubu lawan dan hampir mencipta jaringan apabila Ager Aketxe yang menerima hantaran Arif Aiman Hanapi melakukan sepakan lerek namun sedikit tersasar daripada pintu gol kelab Liga 1 Jepun itu.

Selang seminit kemudian, gawang JDT hampir dibolosi menerusi percubaan Henry Mochizuki dari sudut sukar namun Ahmad Syihan tangkas menepis keluar bola tersebut.

Pada penghujung babak pertama, Aketxe sekali lagi mendatang resah buat pasukan kendalian Go Kuroda namun dua rembatan yang dilakukan dari luar kotak penalti namun tidak berupaya menewaskan penjaga gol, Kosei Tani.

Bersambung babak kedua, skuad Harimau Selatan meningkatkan tempo permainan dan dilihat berupaya menyaingi pasukan lawan yang kerap membuat tekanan tinggi.

Pada minit ke-60, Machida Zelvia melakukan serangan menerusi larian pantas Soma yang mengumpan bola kepada Sangho untuk membuat rembatan namun Antonio Glauder bertindak pantas menghadang bola itu sebelum Ahmad Syihan keluar mengutip bola itu.

Penjaga gol kebangsaan itu terus bertindak cemerlang apabila mematikan beberapa serangan lawan dengan melonjak tinggi mengutip bola hantaran ke dalam kotak penalti.

Aketxe sekali lagi melakukan percubaan tepat ke pintu gol dan sekali lagi juga Tani berada di posisi tepat menafikan percubaan itu.

Pada minit ke-85, Teto Martin yang dibawa masuk pada pertengahan babak kedua turut mengintai peluang untuk mencetak jaringan namun rembatan lencong yang dilakukan sekadar menggegar sisi gawang Machida Zelvia.

Kedua-dua pasukan saling bertukar tangan melakukan serangan namun menemui jalan buntu dan perlawanan berakhir tanpa jaringan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN