Lelaki mabuk langgar empat kenderaan ditahan

Lelaki mabuk langgar empat kenderaan ditahan

SUSPEK (kiri) dibawa menaiki kereta peronda polis (MPV) selepas ditahan kerana dipercayai memandu dalam keadaan mabuk sehingga melanggar empat buah kenderaan di Jalan Kenari, Bayan Lepas, Pulau Pinang, malam tadi.-GAMBAR/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU : Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai memandu dalam keadaan mabuk sehingga melanggar empat buah kenderaan di Jalan Kenari, Bayan Lepas di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.55 malam itu, suspek yang berusia 55 tahun memandu sebuah kereta jenis Honda Accord sebelum merempuh sebuah Proton X70 serta tiga lagi kenderaan awam yang diletakkan di bahu jalan berhadapan Gereja Devine Mercy.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, suspek bagaimanapun berjaya ditahan tidak lama kemudian oleh anggota trafik yang sedang bertugas di lokasi berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semasa proses tangkapan dijalankan, tiada sebarang kecederaan berlaku terhadap suspek dan tiada kejadian tidak diingini juga dilaporkan.

“Semakan lanjut turut mendapati bahawa suspek tidak mempunyai sebarang rekod berkaitan kesalahan jenayah atau narkotik,” katanya di sini, hari ini.

Menurut beliau, suspek kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jelas Sazalee, suspek turut dibawa ke Balai Polis Trafik Bayan Lepas untuk tindakan lanjut dan akan direman di Mahkamah Balik Pulau pada hari ini.

“Pada masa yang sama, polis turut merampas kereta yang dipandu oleh suspek untuk dijadikan bahan bukti bagi membantu siasatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN