KOTA BHARU: Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) membuat kejutan apabila menamatkan kontrak penyerang import dari Kenya, Ismael Salim Dunga berkuatkuasa hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Mohd. Fajarulekram Wan Mokhtar berkata, keputusan itu dibuat selepas pemain berkenaan gagal mencapai prestasi yang diinginkan oleh pasukan.
Menurutnya, penamatan kontrak itu dilakukan secara persetujuan bersama antara KRW FC dengan penyerang terbabit.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Ismael Dunga atas segala komitmen dan dedikasinya kepada kelab serta pasukan. Selamat maju jaya dalam kariernya selepas ini,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Pemain berusia 32 tahun yang dibawa masuk dari kelab J3, Kamatamare Sanuki telah beraksi tiga perlawanan, namun gagal menjaringkan gagal menjaringkan sebarang gol.
Ketika ini, KRW FC yang berada di tangga kedua tercorot Liga A1 selepas empat perlawanan di diperkuatkan oleh dua tonggak import iaitu Otis Khan dan Emmanuel Mbarga. – UTUSAN