KPM timbang cadangan sedia pondok polis, polis bantuan di sekolah

KPM timbang cadangan sedia pondok polis, polis bantuan di sekolah

FADHLINA Sidek (dua dari kiri) ketika menyampaikan Anugerah Pembentang Terbaik kepada Muhammad Arif Badri sempena Kongres Prauniversiti Madani di Kampus Kejuruteraan USM di Nibong Tebal, Pulau Pinang di sini, hari ini. - UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menimbang cadangan semua pihak termasuk saranan supaya pondok polis dan anggota polis bantuan ditempatkan di sekolah bagi menangani permasalahan buli.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya mengambil kira semua pandangan khususnya dalam jawatankuasa reformasi keselamatan sekolah yang sedang dilaksanakan ketika ini selain proses audit keselamatan juga turut berlangsung di semua sekolah berasrama seluruh negara.

“Kita sedang kutip pandangan-pandangan ini dalam ‘town hall’ kita bersama dengan Kementerian Undang-Undang dan Kementerian Komunikasi untuk meneliti berkaitan dengan Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti-Buli.

“Jadi, semua pandangan ini diperlukan untuk kita teliti sebelum kita muktamadkan apakah tindakan-tindakan yang kita fikir penting untuk kita laksanakan ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Kongres Prauniversiti Madani Peringkat Negeri Pulau Pinang di Universiti Sains Malaysia (USM) di Nibong Tebal, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung saranan masyarakat yang mencadangkan penyediaan pondok polis termasuk kesiapsiagaan polis bantuan di sekolah bagi membantu mengatasi masalah buli yang semakin meruncing.

Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun berkata, ketika ini, pelbagai langkah telah dilaksana bagi mengekang isu berkenaan.

“Semua langkah-langkah untuk memastikan keselamatan dan juga tindakan tegas kepada jenayah buli ini dilakukan di bawah peraturan dan garis panduan yang telahpun kita ada,” katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, kongres terbabit adalah hasil inisiatif, kerja keras dan komitmen luar biasa anak-anak Tingkatan Enam di negeri ini.

“Saya turut menerima sebanyak 12 usul dan ada sebahagiannya telahpun diluluskan serta merta termasuk cadangan usul penganjuran program dan juga bengkel-bengkel selain program-program akademik yang turut akan diteliti di peringkat KPM dalam memberikan sokongan penuh kepada mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×