Khelif bawa isu ujian jantina ke CAS

Khelif bawa isu ujian jantina ke CAS

IMANE KHELIF - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAUSANNE: Nama peninju Algeria, Imane Khelif sekali lagi menjadi sebutan apabila dia membawa kes kontroversi ujian jantina ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dalam usaha membatalkan syarat ujian genetik yang dikenakan ke atasnya.

Menurut kenyataan rasmi CAS, Khelif mencabar keputusan Persekutuan Tinju Dunia (World Boxing) yang menetapkan atlet itu tidak boleh beraksi dalam kejohanan dunia akan datang tanpa terlebih dahulu menjalani ujian genetik.

Khelif, bersama peninju Taiwan, Lin Yu-ting, sebelum ini mencetuskan perdebatan hangat di Sukan Olimpik Paris 2024 mengenai kelayakan jantina dalam kategori wanita.

Kedua-duanya meraih pingat emas, namun aksi pembukaan Khelif yang menundukkan lawan dari Itali sehingga menitiskan air mata mencetuskan kecaman hebat termasuk daripada Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance dan penulis terkenal, JK Rowling.

Rayuan rasmi difailkan Khelif pada 5 Ogos lalu dengan harapan keputusan World Boxing itu dibatalkan sekali gus membolehkannya bertanding tanpa perlu melalui ujian jantina.

Namun, CAS menolak permohonan untuk menggantung keputusan berkenaan sehingga perbicaraan penuh didengar menjadikan peluang Khelif ke Kejohanan Dunia di Liverpool semakin tipis jika tetap enggan diuji.

Di sebalik pencapaian mereka, Khelif dan Yu-ting turut dihujani serangan di media sosial, malah berdepan khabar angin liar mengenai jantina biologi selain penyebaran maklumat palsu sepanjang temasya Olimpik.

Kontroversi jantina dalam sukan wanita bukan hanya melibatkan tinju, malah turut menjadi isu besar dalam olahraga dan renang.

Malah pada hujung Mei lalu, World Boxing mengumumkan pelaksanaan ujian jantina wajib untuk semua atlet lelaki dan wanita yang mahu beraksi di pentas kejohanan dunia. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN