Aceh masih lumpuh selepas sebulan banjir besar

Aceh masih lumpuh selepas sebulan banjir besar

PENDUDUK yang terjejas banjir beratur panjang bagi mendapatkan bekalan bahan api di stesen minyak di Banda Aceh, Indonesia. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Sebulan selepas banjir besar dan aliran lumpur melanda wilayah Aceh, keadaan di banyak kawasan masih belum pulih sepenuhnya dengan kampung-kampung dipenuhi runtuhan, manakala ribuan penduduk terus bergantung kepada bantuan dan sokongan sesama komuniti.

Bencana banjir dan tanah runtuh akibat cuaca ekstrem yang dikaitkan dengan Taufan Senyar itu melanda wilayah Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Aceh pada penghujung November lalu, dengan Aceh muncul sebagai kawasan paling teruk terjejas.

Aceh mencatat hampir separuh daripada keseluruhan 1,137 korban, manakala lebih 450,000 penduduk masih belum dapat pulang ke rumah masing-masing akibat kerosakan teruk, selain berdepan kekurangan bekalan air bersih, makanan, elektrik dan ubat-ubatan.

Menurut penyelaras Jawa­tankuasa Penyelamat Kecemasan Perubatan (MER-C) Aceh, Ira Hadiati, ramai penduduk terpaksa menggunakan air sungai yang tercemar, manakala pusat pemindahan pula kekurangan kemudahan asas seperti tandas dan tempat mencuci.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan keperluan asas penduduk yang masih tidak mencukupi, memaksa komuniti setempat saling membantu walaupun bantuan sukarelawan dan sumber yang ada sangat terhad.

Sukarelawan tempatan mengkritik tindak balas kerajaan pusat yang disifatkan perlahan, selain keengganan mengisytiharkan bencana itu sebagai bencana nasional yang boleh mempercepatkan penyaluran dana dan usaha bantuan.

Gabenor Aceh, Muzakir Manaf melanjutkan tempoh darurat wilayah itu selama dua minggu lagi, ketika ribuan rumah, sekolah, kemudahan kesihatan dan infrastruktur musnah, sekali gus mengasingkan banyak kawasan serta menyukarkan usaha pemulihan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×