PUTRAJAYA: Malaysia perlu menyediakan rangka perundangan baharu bagi memastikan penggunaan kenderaan tanpa pemandu dilaksanakan dengan selamat, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Menurutnya, perbincangan awal bersama pihak Kementerian Pengangkutan sudah pun dimulakan untuk meneliti aspek berkaitan.
Katanya, negara luar sudah bergerak ke arah penggunaan autonomous vehicle (AV) dan Malaysia tidak boleh ketinggalan.
“Kalau kita hendak gunakan kereta yang tidak ada pemandu, kita kena pastikan piawaian keselamatan mesti jelas dan rangka undang-undang perlu lengkap.
“Setiap perkembangan teknologi automotif baharu perlu diteliti dari aspek keselamatan rakyat dan pematuhan undang-undang secara menyeluruh.
“Kita kena pastikan bagaimana kita boleh membangunkan satu sistem perundangan yang selamat dan pada masa yang sama mampu menjamin keselamatan rakyat,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Makmal Forensik Kenderaan Cybersecurity Malaysia di pekarangan Menara Cyber Axis, di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, kerajaan sedang menilai undang-undang sedia ada bagi agar selari dengan perkembangan teknologi automotif kenderaan tanpa pemandu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Malaysia masih belum mempunyai undang-undang khusus bagi kenderaan tanpa pemandu selain undang-undang jalan raya sedia ada dan garis panduan ujian awam.
Namun begitu katanya, pihak kerajaan akan meneliti rangka kerja dari negara lain yang telah menggubal undang-undang untuk AV. – UTUSAN







