SYDNEY: Juara Olimpik lompat bergalah wanita, Nina Kennedy mahu menjadikan Kejohanan Olahraga Dunia di Tokyo sebagai batu loncatan memburu rekod dunia milik Yelena Isinbayeva.
Atlet berusia 27 tahun itu antara nama besar dalam skuad terbesar Australia ke kejohanan terbabit dari 13 hingga 21 September ini, bersama jaguh lompat tinggi Nicola Olyslagers dan pelontar cakera, Matthew Denny.
Turut mencuri tumpuan ialah pelari remaja berusia 17 tahun, Gout Gout, yang dilabel bayangan Usain Bolt dan akan beraksi dalam acara 200 meter (m).
“Saya berada di atas kerusi roda selepas pembedahan hamstring, jadi kembali berlatih penuh menjelang kejohanan dunia ini sudah dianggap kemenangan besar.
“Saya lihat diri saya mampu menolak had sehingga lima meter, malah tiada siapa mendekati rekod Isinbayeva sejak sekian lama, jadi kenapa tidak saya?,” kata Kennedy.
Olyslagers pula hadir dengan keyakinan tinggi selepas menewaskan pemegang rekod dunia, Yaroslava Mahuchikh untuk memenangi kejuaraan Liga Berlian di Zurich.
“Musim ini adalah persiapan terbaik untuk Tokyo dan saya mahu catat rekod peribadi baharu tanpa meletakkan sebarang had,” kata Olyslagers.
Australia turut diperkuat bekas juara dunia Eleanor Patterson, perak Olimpik 1,500m Jessica Hull serta pemegang ranking keempat dunia lompat bergalah lelaki, Kurtis Marschall. – AGENSI