Jijoe buktikan belum berkarat

Jijoe buktikan belum berkarat

AZIZULHASNI Awang meraih gangsa dalam acara pecut elit Kejohanan Trek Piala Asia di Velodrom Suphanburi, Thailand, -IG AZIZULHASNI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejayaan meraih gangsa di Piala Trek Asia 2025 di Suphanburi, Thailand menjadi isyarat kebangkitan semula Datuk Azizulhasni Awang dalam arena berbasikal trek antarabangsa.

Selepas kecewa di Sukan Olimpik Paris 2024, Azizulhasni yang mesra disapa Jijoe itu memperlahankan rentaknya dan Piala Trek Asia menjadi kejohanan kompetitif pertamanya sejak Ogos tahun lalu.

Pelumba berusia 37 tahun itu menganggap pencapaian gangsa dalam acara pecut individu kelmarin sebagai titik permulaan baharu selepas kembali menyertai saingan besar buat pertama kali sejak berehat panjang.

“Saya berjaya mendapat pingat gangsa dalam acara pecut individu hari ini (kelmarin). Satu permulaan yang sangat baik buat diri saya setelah membuat penampilan semula dalam arena berbasikal trek.

“Ini juga merupakan perlumbaan antarabangsa yang pertama setelah memulakan latihan di Velodrom Nasional Nilai pada awal Julai lalu,” kata Azizulhasni.

Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman menegaskan pencapaian itu bukan alasan untuk berpuas hati, sebaliknya beliau mahu terus memperbaiki prestasi dalam fasa persiapan mendatang.

“Sudah tentu masih banyak yang perlu dipertingkatkan dan saya sendiri sangat teruja untuk fasa latihan seterusnya. Terima kasih kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan serta doa untuk karier saya selama ini,” katanya.

Kayuhan di Suphanburi jelas menjadi pemanas enjin penting buat jaguh kelahiran Dungun itu yang kini kembali aktif sebagai pelumba profesional.

Tumpuan Azizulhasni selepas ini adalah untuk mempersiapkan diri menghadapi cabaran lebih besar di pentas Sukan Asia 2026 di Jepun yang bakal di Aichi-Nagoya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN