TOKYO: Pelari Amerika Syarikat (AS), Melissa Jefferson-Wooden menutup musim gemilangnya dengan penuh bergaya apabila merangkul kejuaraan dunia acara 100 meter (m) wanita di Tokyo semalam.
Atlet berusia 23 tahun itu memecut laju untuk mencatat masa 10.61 saat (s), rekod terpantas dalam sejarah Kejohanan Dunia dan keempat terbaik sepanjang zaman.
Kejayaan itu juga mengesahkan status Jefferson-Wooden sebagai pelari paling konsisten musim ini selepas tidak pernah tewas dalam acara 100m, selain semua catatannya di bawah 11s.
“Ini tahun yang luar biasa buat saya. Saya sudah lama bermimpi detik ini. Saya tak mahu letak tekanan, sebaliknya hanya cuba menikmati perlumbaan,” kata Jefferson-Wooden.
Dalam pada itu, pelari muda Jamaica, Tina Clayton, 21, pula menzahirkan isyarat kebangkitan generasi baharu pecut wanita negaranya apabila menghadiahkan pingat perak dengan catatan peribadi terbaik 10.76s.
“Itu perasaan yang menakjubkan dapat kembalikan Jamaica ke podium dunia. Saya tahu saya perlu berikan yang terbaik, dan keputusan ini membuktikannya,” kata Clayton.
Pingat gangsa milik juara Olimpik, Julien Alfred dari Saint Lucia yang menamatkan larian dengan 10.84s, manakala rakan senegara Jefferson-Wooden, Sha’Carri Richardson hanya di tempat kelima (10.94s) selepas gagal mempertahankan gelaran dunia.
Sementara tu, legenda Jamaica, Shelly-Ann Fraser-Pryce, menutup karier gemilangnya dengan 10 gelaran dunia apabila sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keenam (11.03s).
“Walaupun bukan keputusan yang saya mahu, saya tetap bersyukur kerana diberi peluang menutup karier dengan aksi final. Ia benar-benar satu keberkatan,” kata Fraser-Pryce. – AGENSI