Isak ledak gol pertama bersama Liverpool

Isak ledak gol pertama bersama Liverpool

Alexander Isak (tengah) berdepan masalah kecederaan pangkal paha- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Alexander Isak menjaringkan gol pertamanya bersama Liverpool bagi membantu kemenangan 2-1 ke atas Southampton dalam pusingan ketiga Piala Liga manakala Chelsea hampir dikejutkan pasukan divisyen ketiga, Lincoln, semalam.

Isak membuat penampilan ketiganya bersama Liverpool sejak perpindahannya dari Newcastle dengan rekod British sebanyak 125 juta pound (RM709 juta) pada hari terakhir jendela perpindahan.

Dia gagal menjaringkan gol dalam penampilan sulungnya selama 58 minit menentang Atletico Madrid dan tidak menemui sasaran selepas dimasukkan sebagai pemain gantian selama 23 minit dalam kemenangan derby Merseyside menentang Everton, Sabtu lalu.

Namun, Isak akhirnya membuka akaun golnya pada minit ke-43 apabila penjaga gol Southampton, Alex McCarthy cuba melakukan hantaran pendek yang dipintas oleh Federico Chiesa dan kemudian melorongkan bola kepada penyerang Sweden itu untuk disudahkan dengan tenang.

“Ini bukan persembahan terbaik kami. Anda boleh jangkakan begitu apabila menurunkan satu pasukan baharu sepenuhnya. Ramai pemain yang tidak bermain untuk jangka masa lama.

“Ada beberapa perkara positif. Giorgi Mamardashvili bermain cemerlang di gawang. Gol pertama untuk Alexander dan satu lagi daripada Hugo,” kata bos Liverpool, Arne Slot.

Chelsea hampir dimalukan selepas pengurus Enzo Maresca membuat lapan pertukaran susulan kekalahan 2-1 kepada Manchester United pada Sabtu lalu.

Dalam pertemuan pertama mereka dengan Chelsea sejak 1911, Lincoln mengejutkan The Blues menerusi kesilapan tuan rumah pada minit ke-42.

Hantaran cuai Enzo Fernandez dalam kawasan penalti sendiri dipintas oleh Ivan Varfolomeev yang kemudian menanduk bola kepada Rob Street sebelum tenang menyudahkan peluang itu dari jarak jauh menewaskan Filip Jorgensen.

Namun Tyrique George kembali menyamakan kedudukan enam minit kemudian sebelum Facundo Buonanotte meletak gol kemenangan Chelsea pada minit ke-50.

“Saya beritahu pemain ia bukan perlawanan yang mudah. Sebab itu saya marah pada separuh masa pertama, kerana kami tahu kami perlu bermain lebih baik. Tapi secara keseluruhan, mereka menunjukkan peningkatan pada akhirnya,” kata Maresca. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN