PETALING JAYA: Inflasi Malaysia terus menyederhana kepada 1.3 peratus pada Oktober 2025, dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat kepada 135.1 berbanding 133.4 pada bulan sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan.
Kadar tersebut dipengaruhi oleh kenaikan lebih perlahan bagi kumpulan makanan dan minuman yang meningkat 1.5 peratus berbanding 2.1 peratus pada September 2025, selain kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain yang naik 1.1 peratus berbanding 1.5 peratus sebelum ini.
Sementara itu, beberapa kumpulan mencatat penurunan, antaranya maklumat dan komunikasi (-2.4 peratus), pakaian dan kasut (-0.3 peratus) dan pengangkutan (-0.1 peratus), menyumbang kepada penyederhanaan keseluruhan inflasi.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, sebanyak 60 peratus atau 344 daripada 573 item dalam bakul IHP merekodkan peningkatan harga, namun 97.4 peratus daripada item tersebut menunjukkan kenaikan kecil tidak melebihi 10 peratus.
“Sebanyak 181 item atau 31.6 peratus mencatat penurunan harga, manakala 48 item kekal tidak berubah.
“Kumpulan makanan dan minuman yang merangkumi 29.8 peratus wajaran IHP meningkat pada kadar lebih perlahan 1.5 peratus, dipengaruhi oleh pertumbuhan sederhana subkumpulan makanan di luar rumah yang naik 2.9 peratus berbanding 4.4 peratus pada bulan sebelumnya.
“Inflasi makanan turut diimbangi oleh penurunan sayur-sayuran (-6.0 peratus), daging (-0.7 peratus) serta bijirin dan produk bijirin (-0.5 peratus), meskipun beberapa komponen merekodkan peningkatan seperti ikan dan makanan laut (1.7 peratus) serta minyak dan lemak (1.5 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Bagi kelas perbelanjaan daging, penurunan disumbangkan oleh harga daging lembu tempatan (-4.5 peratus) dan ayam sejuk beku (-2.0%).
Purata harga ayam standard Malaysia pada Oktober 2025 berada pada RM10.35 sekilogram, lebih rendah berbanding RM10.63 pada Oktober 2024.
Dalam masa sama, inflasi subkumpulan susu, produk tenusu dan telur meningkat 0.6 peratus, dipacu oleh kenaikan harga telur ayam gred A (5.4 peratus), B (4.8 peratus) dan C (7.1 peratus).
Mengenai perumahan, inflasi kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain meningkat perlahan kepada 1.1 peratus, diimbangi oleh subkumpulan elektrik, gas dan bahan api yang kekal negatif (-8.4 peratus) selepas pengemaskinian kadar Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) untuk pengguna domestik.
Inflasi kumpulan pengangkutan pula menurun kepada -0.1 peratus, dipengaruhi oleh penurunan dalam perkhidmatan pengangkutan barangan (-1.3 peratus) serta pengurusan peralatan pengangkutan persendirian (-0.3 peratus).
Mengulas lanjut, beliau berkata, pelaksanaan subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang menawarkan harga RM1.99 seliter berbanding harga pasaran RM2.60 turut membantu meredakan tekanan inflasi pengangkutan pada Oktober.
“Dalam pada itu, enam negeri mencatat inflasi melebihi paras nasional, termasuk Johor (1.9 peratus), Negeri Sembilan (1.7 peratus) dan Selangor (1.6 peratus), manakala Kelantan merekodkan kadar terendah pada 0.1 peratus.
“Inflasi makanan & minuman meningkat di semua negeri kecuali Kelantan yang merekodkan penurunan 0.6 peratus,” katanya.
Secara bulanan, inflasi keseluruhan mencatat penurunan -0.1 peratus berbanding kenaikan 0.2 peratus pada September 2025, dipengaruhi penurunan dalam kumpulan pengangkutan, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain serta pakaian dan kasut.
Malaysia terus merekodkan inflasi yang lebih rendah berbanding beberapa negara rantau seperti Vietnam (3.3 peratus), Indonesia (2.9 peratus) dan Korea Selatan (2.4 peratus), namun lebih tinggi berbanding China (0.2 peratus) dan Thailand (-0.8 peratus). – UTUSAN










