Minat terhadap bahasa Melayu mendorong seorang pelajar berketurunan India, Hemalan Kanesan, 13, menyertai pertandingan menalam syair anjuran Pertubuhan Kesenian dan Kebudayaan Daerah (PKKD) di Kampung Kedondong, Jerantut, Pahang baru-baru ini.
Bercakap kepada Utusan Pelajar, pelajar Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Saujana, Jerantut itu berkata, bakat sebagai penyair diasah oleh seorang guru bahasa Melayu semasa dia belajar di Tahun Empat, Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut Jaya, bandar Jerantut.
“Dia (guru bahasa Melayu) mula mengajarkan saya teknik bersyair untuk persediaan menyertai pertandingan program koakademik peringkat sekolah.
“Cuma saya seorang pelajar bukan Melayu menyertai pertandingan tersebut dan mendapat pujian daripada guru dan rakan walaupun tidak memperoleh kemenangan,” katanya kepada Utusan Pelajar di Kampung Kedondong, Jerantut baru-baru ini.
Hemalan antara peserta bukan Melayu menyertai Pertandingan Syair sempena Program Penyemarakan Seni Budaya Pulau Tawar Kampung Kas anjuran Jabatan Kebudayaan Kesenian Negara (JKKN) Pahang dengan kerjasama PKKD Jerantut yang disertai seramai 11 orang penyair.
Sempena pertandingan itu, dia yang menyampaikan syair bertajuk ‘Berbuat jasa’ dipilih oleh para juri memenangi anugerah khas dengan memperoleh sumbangan hamper dan sijil penyertaan daripada Pengarah JKKN Pahang, Mohd Rizal Ismail.
Dia berkata, bermula menyertai pertandingan syair di sekolah rendah tiga tahun lalu minatnya terus subur dalam bidang syair dan sajak khususnya mata pelajaran bahasa Melayu dan bertekad bersungguh untuk belajar menguasai bahasa tersebut.
“Ketika belajar di sekolah menengah, saya terus mendapatkan galakan guru untuk terus belajar serta menguasai bahasa Melayu di samping bersedia menyertai pertandingan dalam semua genre sastera pada masa akan datang.
Hemalan yang bercita-cita untuk menjadi seorang pakar arkeologis juga meminati mata pelajaran Sejarah menjelaskan dia fasih bertutur bahasa Melayu kerana bergaul dengan rakan kalangan orang Melayu di dalam kelas dan jiran tetangga di Taman Bukit Permai, pinggir bandar Jerantut.
Sementara itu, Utusan Pelajar cuba menjejak bekas guru Hemalan yang pernah belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut Jaya, Jerantut sebelum ini turut diakui oleh Guru Besar sekolah itu,
Jamaludin Baharun berkata, beliau melihat bakat murid tersebut apabila beberapa kali turut membuat persembahan mendeklamasi sajak, menalam syair dan bercerita dalam bahasa Melayu semasa perhimpunan sekolah dan aktiviti koakademik ketika dia masih belajar di Tahun Empat.
“Dia fasih berbahasa Melayu malah sangat yakin apabila tampil ke depan audien di sekolah ketika menyertai aktiviti dalam bahasa Melayu sehingga menarik minat rakan dalam kalangan murid Melayu di sini.
“Kemahiran berbahasa Melayu serta minat Hemalan terhadap aktiviti mendeklamasi sajak dan menalam syair membolehkan guru mengasah bakatnya serta memahirkan intonasi dan sebutan sebelum menyertai mana-mana pertandingan koakademik di sekolah dan luar,” katanya.
Tambahnya, guru di sekolah tersebut berharap Hemalan terus menyertai semua bidang aktiviti koakademik dalam pengucapan bahasa Melayu di peringkat sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi awam nanti.
Pandangan itu turut dikongsi oleh salah seorang juri pertandingan, Amir Hamzah Nordin menjelaskan Hemalan seorang pelajar bukan Melayu yang sungguh berbakat ketika menalam syair semasa pertandingan itu.
“Sebutan bahasa Melayu jelas cuma dia perlu memahirkan aspek intonasi dan irama ketika menalam syair malahan keyakinannya membuat persembahan memang wajar diberi penghargaan oleh penganjur.
“Menalam syair bukanlah mudah, bukan semua pelajar Melayu mampu menguasai aspek intonasi dan irama, tetapi bakat serta kebolehan Hemalan setanding dengan kalangan peserta Melayu di sini,” katanya.
Amir Hamzah yang juga Setiausaha Pertubuhan Kesenian dan Kebudayaan Jerantut berkata, dia yakin dengan kesungguhan belajar serta kefasihan Hemalan dalam bahasa Melayu mampu menjulang nama sekolah dalam aktiviti Koakademik malahan dia boleh menjurus pengajian dalam bidang bahasa tersebut di peringkat pengajian tinggi.
Dalam pada itu, bapa Hemalan, Kanesan merupakan seorang pemandu lori yang turut menyaksikan anak sulungnya dua beradik itu berkata, dia sentiasa memberikan galakan anaknya belajar bahasa Melayu sehingga ke peringkat tinggi.
“Sebagai warganegara di sini, sudah tentu saya memberikan galakan serta kemudahan untuk anak sulung saya belajar menguasai bahasa Melayu dan mata pelajaran lain untuk mengejar kerjayanya pada masa akan datang,” katanya.
Ujarnya, semasa di rumah, dia dan isteri kerap berbual dengan Hemalan menggunakan bahasa Melayu sebagai galakan supaya dia menguasai bahasa itu sepenuhnya.- UTUSAN