PETALING JAYA: Kongres Khas DAP pada 12 Julai ini menjadi penentu sama ada parti itu kekal dalam kerajaan atau sebaliknya.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kongres tersebut akan menjadi platform kepada ahli parti membuat keputusan secara demokrasi mengenai hala tuju menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, boleh dikatakan ada satu tamparan kepada kita. Terdapat pelbagai pandangan selepas itu, termasuk ada yang mahu kita bergerak secara solo.
“Tetapi respons saya ialah sebagai sebuah parti, kita tidak boleh hanya kerana kalah PRN Sabah terus menghukum kedudukan kita dalam Pakatan Harapan (PH) dan mahu keluar daripada gabungan itu,” katanya dalam audio siar Lebih Masa yang dikendalikan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Ketika ditanya sama ada kongres itu menjadi penentu kedudukan DAP dalam kerajaan, Anthony mengakui ia berpotensi menentukan sama ada parti akan kekal dalam kerajaan atau sebaliknya.
Katanya, undian yang dijalankan pada hari itu akan dilakukan secara rahsia (secret ballot) bagi memastikan keputusannya telus dan benar-benar mewakili suara akar umbi.
“Kita kena ada hala tuju, nak ke kiri atau nak ke kanan. Kita mahu keseluruhan parti, bukan hanya pemimpin tetapi juga akar umbi, membuat keputusan.
“Kalau mahu bersama kerajaan, kita buat keputusan. Kalau rasa tidak perlu buat apa-apa dalam kerajaan, lebih baik keluar.
“Kemudian buat keputusan melalui satu proses yang jelas. Itu yang saya mahu bawa sebagai agenda dalam persidangan Julai nanti,” katanya.
Anthony turut mengingatkan ahli DAP supaya mengamalkan kritikan secara konstruktif, sekiranya parti terus berada dalam kerajaan.
“Kita ada tanggungjawab bersama. Tidak boleh di Parlimen bersetuju, tetapi di luar bercakap perkara yang berbeza.
“Jika kita mahu berada dalam kerajaan, kita perlu memikul tanggungjawab itu bersama-sama,” katanya. – UTUSAN







