KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan dua rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR) dalam Hari Cuci Malaysia (HCM) 2025 yang akan diadakan pada 27 September ini di seluruh negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, pada tahun lalu, HCM berjaya mencatatkan tiga MBOR iaitu penyertaan seramai 58,007 peserta, kutipan sisa pepejal terberat (4,645.50 metrik tan) dan tempoh masa gotong-royong paling lama selama 12 jam.
Oleh itu, katanya, KPKT kali ini menyasarkan dua rekod baharu MBOR dalam program HCM yang dijangka menarik lebih ramai penyertaan serentak di seluruh negara berbanding tahun lalu.
Katanya, KPKT menyasarkan penciptaan dua rekod baharu MBOR pada tahun ini iaitu penyertaan gotong-royong seramai 100,000 peserta serentak di seluruh negara dan pengumpulan minyak masak terpakai terbanyak dalam satu hari sekurang-kurangnya 3,000 kilogram.
“HCM bukan lagi program peringkat kementerian, sebaliknya kini telah diangkat sebagai program nasional setaraf Hari Sukan Negara. Jemaah Menteri bersetuju supaya ia dijadikan acara tahunan pada setiap 20 September.
“Orang awam yang ingin menyertai boleh mendaftar melalui kod QR yang akan
diedarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan masing-masing.
Manakala, bagi mereka yang tidak mempunyai telefon pintar, pendaftaran secara manual menggunakan borang juga disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Pra-Pelancaran Hari Cuci Malaysia (HCM) 2025 di Pasar Seni Kuala Lumpur pagi ini.
Terdahulu, HCM merupakan inisiatif bersempena dengan ‘World Clean Up Day’ anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 20 September setiap tahun, selaras dengan usaha global menangani pencemaran sisa dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kebersihan.
Oleh itu, kerajaan bersetuju menetapkan hari Sabtu terakhir bulan September setiap tahun sebagai Hari Cuci Malaysia yang diterajui oleh KPKT.
Hari Cuci Malaysia 2025 peringkat Kebangsaan akan berlangsung di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson pada 27 September ini dan turut dilaksanakan secara serentak di pelbagai lokasi lain di seluruh negara.
Kor Ming berkata, pelaksanaan kempen itu melibatkan pendekatan seluruh negara dengan penyertaan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sektor swasta.
Katanya lagi, inisiatif tersebut bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran sivik rakyat terhadap kebersihan awam, malah selaras dengan persediaan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Industri pelancongan merupakan sumber pendapatan kedua terbesar negara. Maka aspek kebersihan menjadi faktor penting bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pilihan utama dunia,” katanya. – UTUSAN










