BARCELONA, Sepanyol: Robert Lewandowski, Raphinha dan Fermin Lopez masing-masing meledak dua gol ketika Barcelona membelasah Valencia 6-0, semalam pada aksi La Liga yang terpaksa dilangsungkan di stadium latihan mereka susulan kelewatan pembukaan semula Spotify Camp Nou.
Keputusan itu membolehkan penyandang juara Sepanyol itu, melonjak ke tangga kedua, dua mata di belakang pendahulu Real Madrid yang mengekalkan rekod sempurna selepas menewaskan Real Sociedad 2-1, kelmarin.
Dengan kapasiti memuatkan hanya 6,000 penonton, Stadium Johan Cruyff yang terletak bersebelahan pusat latihan kelab menjadi gelanggang buat aksi pertama Barca di laman sendiri musim ini.
Ketiadaan penyerang sensasi, Lamine Yamal kerana kecederaan pangkal paha menambah kerisauan Barca, apatah lagi jurulatih Hansi Flick lantang mengkritik skuad Sepanyol kerana menurunkannya dua kali pada aksi kelayakan Piala Dunia minggu lalu.
Aksi cemerlang terutama pada babak kedua membolehkan Barcelona melupakan seketika ketiadaan Yamal dan keputusan hambar sewaktu seri menentang Rayo Vallecano pada aksi La Liga sebelum ini.
“Saya sangat hargai apa yang saya lihat hari ini. Ini permulaan baik selepas rehat antarabangsa dan ini persembahan sebenar Barcelona.
“Semua pemain menunjukkan aksi menakjubkan dan bermain dengan semangat berpasukan cukup tinggi. Pemain gantian juga memberi impak yang bagus, semuanya sempurna daripada minit pertama hingga terakhir,” kata Flick.
Flick turut memberikan penampilan sulung buat Roony Bardghji di posisi sayap kanan menggantikan Yamal selepas ketibaannya dari Copenhagen pada musim panas lalu.– AGENSI










