LAUSANNE: Kemenangan Afrika Selatan terhadap Lesotho dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 dibatalkan selepas didapati menggunakan pemain yang tidak layak, kata Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Kemenangan 2-0 Afrika Selatan pada 21 Mac di Polokwane dibatalkan dan digantikan dengan kekalahan 3-0, menyebabkan mereka jatuh ke tempat kedua dalam Kumpulan C kelayakan Afrika, di belakang Benin berdasarkan perbezaan gol, manakala Lesotho kekal di tangga kelima.
Afrika Selatan melanggar Artikel 19 Kod Disiplin FIFA dengan menurunkan Teboho Mokoena walaupun pemain tengah itu telah mengumpul dua kad kuning sebelum ini, masing-masing dalam perlawanan menentang Benin dan Zimbabwe, menurut jawatankuasa disiplin FIFA.
Menteri Sukan Afrika Selatan, Gayton McKenzie berkata, hukuman tersebut adalah amat dikesali dan telah memalukan negara mereka.
“Kami mengakui bahawa situasi ini telah mencemarkan nama baik Afrika Selatan dan kami harus bertanggungjawab sepenuhnya untuk menanganinya.
“Kami berterima kasih kepada FIFA atas tindakan pantas dan tidak membiarkan kami tertanya-tanya dan menunggu dalam kebimbangan tentang nasib kami.
“Namun, tumpuan utama kami kini adalah untuk menyokong sepenuhnya pasukan kebangsaan kita yang sedang bersiap untuk dua perlawanan penting terakhir pada Oktober ini.
“Bafana Bafana telah bermain dengan semangat dan ketabahan yang tinggi untuk merebut tempat di Piala Dunia FIFA tahun hadapan dan mereka layak menerima sokongan padu daripada kita semua.
“Pemotongan mata ini hanyalah satu halangan kecil dan kami percaya bahawa kami masih berada di landasan yang tepat untuk layak,” katanya.
Kementeriannya akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kecuaian yang menyebabkan hukuman ini dijatuhkan. – AFP