Jawatankuasa Khas Siasat Azam ulang kisah lama 1MDB - Teresa

Jawatankuasa Khas Siasat Azam ulang kisah lama 1MDB – Teresa

TERESA KOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan melantik Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar untuk mengetuai Jawatankuasa Khas Siasatan bagi isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki boleh mengulangi skandal terbesar dunia 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, jawatankuasa khas itu menyerupai pasukan petugas dibentuk pada 2015 bagi menyiasat skandal 1MDB yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, pasukan petugas sama juga melibatkan Peguam Negara sebagai anggota utama telah menimbulkan kontroversi, gagal memperoleh keyakinan awam dan akhirnya dianggap tidak berkesan. 

“Hasil daripada pengaturan tersebut kini sudah diketahui umum. Pasukan petugas berkenaan dilihat secara meluas sebagai tidak berkesan dan akhirnya menjadi kegagalan besar, runtuh dalam kontroversi, campur tangan institusi, serta kehilangan keyakinan awam. 

“Bukannya meningkatkan kredibiliti, komposisinya telah menjejaskan kepercayaan terhadap integriti proses siasatan.Atas sebab inilah, penyertaan Peguam Negara sebagai ketua atau anggota jawatankuasa semasa menimbulkan kebimbangan yang mendalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Teresa berkata, keyakinan awam terhadap mana-mana siasatan berkaitan dakwaan salah laku yang serius bergantung bukan sahaja kepada kebebasan sebenar, tetapi juga kepada persepsi kebebasan tersebut. 

“Sesebuah jawatankuasa tidak dapat memperoleh legitimasi jika anggotanya dilihat mempunyai kaitan institusi dengan sistem yang sedang disiasat.

“Pengajaran daripada pasukan petugas 1MDB adalah jelas badan penyiasat yang ditugaskan untuk meneliti perkara berkepentingan nasional mesti terdiri daripada individu yang bebas dan dilihat bebas.

“Tanpa perlindungan asas ini, proses berkenaan berisiko dianggap sekadar satu usaha institusi yang tidak mempunyai kredibiliti,” katanya.

Justeru beliau menyokong gesaan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen agar bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa. 

“Beliau (Tun Tengku Maimun) diakui oleh sebahagian besar rakyat Malaysia sebagai mempunyai kelayakan yang cemerlang, integriti yang tidak diragui serta rekod kebebasan yang terbukti. Penglibatan beliau akan serta-merta meningkatkan kredibiliti, keyakinan awam, dan legitimasi proses siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN