PETALING JAYA: Beregu lelaki muda negara, Muhammad Faiq Masawi-Lok Hong Quan merangkul gelaran antarabangsa pertama mereka selepas menjuarai Kejohanan Badminton Siri Antarabangsa Malaysia Petronas 2025 di Arena Tertutup, Kompleks Sukan Educity, Johor, hari ini.
Gandingan berusia 19 tahun yang diletakkan sebagai pilihan pertama dipaksa bekerja keras sebelum membenam pasangan Korea Selatan, Kim Jae Hyeon-Lee Sang Won 21-16, 19-21, 21-14 pada perlawanan akhir.
Kemenangan yang dilakar pemenang pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma), tahun lalu itu sekurang-kurangnya menyekat dominasi Korea Selatan yang menyapu bersih empat gelaran lain.
Dalam beregu campuran, Kim Jae Yeon-Jang Eun Seo memastikan kejuaraan menjadi milik Korea Selatan selepas menundukkan rakan senegara, Noh Jin Seong-Lee Ye Na 21-8, 21-18.
Sementara itu, seorang lagi wakil Korea Selatan, Kim Seong Min memenangi perseorangan wanita selepas menewaskan Bui Bich Phuong dari Vietnam 21-18, 15-21, 21-14.
Rakan senegaranya, Park Sang Yong pula mengecewakan pemain Indonesia, Christian Adinata 25-23, 20-22, 21-12 dalam perseorangan lelaki.
Gelaran beregu wanita turut menjadi milik Korea Selatan apabila Jang Eun Seo-Kim Yu Jung mudah menewaskan pasangan Taiwan, Hsuan Ni Chen-Hsieh Mi Yen 21-10, 21-17. – UTUSAN