PETALING JAYA: Dua pasukan berbasikal ProTeam dari Perancis, Team TotalEnergies dan Unibet Tietema Rockets disahkan kembali menyertai Le Tour de Langkawi 2025 (LTdL) selepas lama menyepi daripada pentas Asia.
Kembalinya kedua-dua pasukan itu menarik perhatian kerana senarai pelumba mereka sarat dengan pendaki dan pakar perlumbaan sehari yang berpotensi mencabar gelaran keseluruhan individu serta berpasukan.
Ketua Pegawai Operasi LTdL25, Emir Abdul Jalal menegaskan kemunculan mereka bakal mencetuskan saingan menarik khususnya di peringkat pendakian.
“Kita yakin bakal ada strategi tersendiri yang akan ditampilkan oleh kedua-dua pasukan dari Perancis ini, lebih-lebih lagi pelumba mereka kaya dengan pengalaman bersaing di pentas Eropah.
“Dengan kehadiran TotalEnergies dan Unibet, saingan peringkat pendakian seperti Gerik-Pasir Puteh, Temerloh-Bukit Fraser dan penamat di Look Out Ampang pasti menjadi tumpuan,” kata Emir.
TotalEnergies tampil dengan enam pelumba termasuk pakar pecut berpengalaman, Lorenzo Manzin dan Jason Tesson, selain empat pendaki muda yang sedang meningkat naik.
Unibet pula mempertaruhkan barisan pelumba handal seperti Adrien Maire, Giovanni Carboni dan Odd Christian Eiking yang sebelum ini mencipta nama dalam saingan Tour of Hellas dan Tour of Sibiu.
Kepulangan dua gergasi itu bakal menghidupkan semula memori lama peminat LTdL, sekali gus menambah warna pada perlumbaan edisi ke-29 yang bermula di Langkawi pada 28 September ini.
LTdL 2025 akan berlangsung dalam lapan peringkat membabitkan jarak 1,224.2 kilometer merentasi semua 12 negeri sebelum berakhir di Kuala Lumpur pada 5 Oktober depan. – UTUSAN