PETALING JAYA: Skuad berbasikal trek negara memberi isyarat awal menjelang Sukan SEA hujung tahun ini selepas membawa pulang dua emas dalam acara pecut berpasukan lelaki dan wanita di Piala Trek Asia Thailand, minggu lalu.
Ketua jurulatih kebangsaan, Harnizam Basri mengakui pencapaian itu cukup meyakinkan kerana pelumba masih berada dalam fasa latihan kekuatan dan belum mencapai kelajuan maksimum.
“Secara keseluruhan, kita capai sasaran kerana memang fokus awal pada acara pecut berpasukan, manakala dalam keirin dan pecut individu saya jangka lebih mencabar.
“Nombor empat dan lima (dalam pecut individu) pun saya kira positif kerana mereka belum sampai prestasi puncak lagi, jadi asas ini penting untuk bina momentum ke depan,” kata Harnizam kepada Utusan Malaysia.
Pelumba berbasikal trek profesional negara, Datuk Azizulhasni Awang menamatkan saingan pecut individu di tempat ketiga selain berjaya meraih tempat kelima dalam keirin.
Muhammad Ridwan Sahrom menjadi tumpuan apabila membantu skuad lelaki meraih emas, meskipun dirinya hanya menamatkan saingan pecut individu di kedudukan keenam.
Menurut Harnizam, pelumba berusia 24 tahun itu masih berpotensi besar namun tidak boleh terlalu selesa dengan kejayaan berpasukan.
“Saya enggan melihat Ridwan mendapat emas dia menjadi sangat selesa. Semasa perlumbaan keirin saya lihat ada peningkatan.
“Akan tetapi dia kurang bernasib baik apabila menamatkan perlumbaan di tempat keenam. Beliau sepatutnya dapat nombor dua, namun kesilapan kecul menghukum beliau,” katanya.
Dalam pada itu, Harnizam turut mendedahkan ujian dalaman pada 11 September akan menjadi penentu sama ada skuad negara akan berlepas ke Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Chile atau sebaliknya.
Ujian itu bakal memberi fokus kepada Muhammad Fadhil Zonis, Mohd Akmal Nazimi Jusena dan Ridwan, manakala Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta Nur Izzah Izzati Mohd Asri hampir pasti mengesahkan slot lebih awal. – UTUSAN