PETALING JAYA: Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei mempamer semangat juang luar biasa apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mara ke pusingan kedua China Masters, hari ini.
Beregu No. 3 dunia itu tewas 12-21 kepada Rian Ardianto–Yeremia Rambitan sebelum kembali menguasai permainan di set kedua dengan kemenangan 21-11.
Aksi penentuan berlangsung mendebarkan namun Izzuddin-Sze Fei berjaya menoktahkan kemenangan 22-20 selepas hampir sejam bertarung di Arena Shenzhen.
Kejayaan itu sekali gus meredakan tekanan selepas mereka tersingkir awal di Terbuka China, Kejohanan Dunia Paris dan Terbuka Hong Kong.
Dalam acara beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai turut menceriakan kem negara apabila menyingkirkan rakan senegara Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien.
Pasangan No. 8 dunia itu menampilkan corak permainan kemas untuk menang mudah 21-17, 21-12 dalam tempoh 35 minit.
Kemenangan tersebut melayakkan mereka bertemu dengan Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan dari Taiwan.
Dengan dua kemenangan penting ini, kem badminton negara mengintai peluang menambah lagi wakil ke pusingan seterusnya di Shenzhen. – UTUSAN










