PARIS: Penjaga gol antarabangsa Perancis, Steve Mandanda juga merupakan pemenang Piala Dunia 2018, mengumumkan persaraannya, semalam.
Bekas pemain Crystal Palace dan Marseille yang kini berusia 40 tahun itu telah tamat kontraknya dengan kelab Ligue 1, Rennes pada Julai lalu.
“Saya perlukan masa untuk menerimanya, kerana ia bukan sesuatu yang mudah, tetapi ya, saya berhenti.
“Saya mengambil masa yang lama untuk berfikir kerana saya menerima banyak panggilan tetapi saya menolaknya,” kata Mandanda yang melakukan penampilan 35 kali bersama Perancis, kepada akhbar sukan Perancis, L’Équipe.
Dilahirkan di Kinshasa, Mandanda berpindah ke Perancis semasa kecil, tinggal bersama keluarganya di Normandy, sebelum memulakan kerjaya bola sepaknya di Ligue 2 bersama Le Havre.
Kejayaannya bermula pada musim pertamanya bersama Marseille pada 2007-2008.
Beliau menghabiskan keseluruhan 14 musim bersama kelab dari selatan Perancis itu dan memenangi enam trofi, termasuk kejuaraan Ligue 1 pada tahun 2010 di bawah kendalian Didier Deschamps, yang kemudiannya menjadi jurulatih pasukan kebangsaan Perancis.
Setelah membuat penampilan sulung bersama Perancis pada Mei 2008 di bawah Raymond Domenech, Mandanda berjaya menjadi penjaga gol utama sebelum tempatnya diambil alih oleh Hugo Lloris pada 2009.
Pada 2016, dia berpindah ke England beraksi bersama Crystal Palace tetapi gagal memberi impak, lalu kembali ke Marseille pada tahun berikutnya dan bermain di sana selama lima musim sebelum menyertai Rennes.
Mandanda kekal sebagai penjaga gol kedua di belakang Lloris selama bertahun-tahun, termasuk menyertai skuad kendalian Deschamps yang mara ke final Euro 2016 di tanah air dan final Piala Dunia 2022 di Qatar.
Dia turut berada dalam skuad yang memenangi trofi Piala Dunia kali kedua di Rusia pada 2018.
Mandanda mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa pada Januari 2023. – AFP